Ibuprofen dengan atau tanpa ubat tahan muntah untuk sakit kepala migrain akut dalam kalangan orang dewasa

Ini adalah versi terkini sorotan Cochrane asal yang telah diterbitkan dalam Isu 10, 2010 (Rabbie 2010); tiada kajian baru telah dijumpai. Satu dos oral ibuprofen 200 mg atau 400 mg adalah berkesan dalam melegakan kesakitan dalam sakit kepala migrain. Kesakitan akan dikurangkan daripada sederhana atau teruk kepada tiada kesakitan dalam masa dua jam pada 1 dalam 4 orang (26%) yang mengambil ibuprofen 400 mg, berbanding dengan 1 dalam 10 (12%) yang mengambil plasebo. Ia akan dikurangkan daripada sederhana atau teruk kepada tidak lebih teruk daripada kesakitan ringan dalam masa dua jam dalam kira-kira 1 dalam 2 orang (57%) yang mengambil ibuprofen berbanding dengan kira-kira 1 dalam 4 (25%) yang mengambil plasebo. Bagi mereka yang mengalami kelegaan sakit kepala yang berkesan selepas dua jam, lebih ramai yang kekal lega lebih 24 jam dengan ibuprofen berbanding dengan plasebo. Dos 200 mg adalah sedikit kurang berkesan, manakala formulasi larutan memberikan respons yang lebih cepat. Satu dos 400 mg ibuprofen mempunyai keberkesanan yang sama seperti yang ditunjukkan untuk dos tunggal 1000 mg aspirin dalam kajian Cochrane yang berasingan (Kirthi 2013).

Kebanyakan kesan sampingan adalah ringan dan sementara, berlaku dalam peratus yang sama bagi peserta yang dirawat dengan ibuprofen dan plasebo. Sangat sedikit individu mengalami masalah serius atau perlu menarik diri dari kajian ini disebabkan oleh kesan sampingan.

Tiada maklumat untuk ibuprofen yang digabungkan dengan ubat tahan muntah yang diambil sendiri, dan sedikit maklumat yang membandingkan ibuprofen dengan ubat lain. Tiada perbezaan yang ketara antara ibuprofen 400 mg dan rofecoxib 25 mg (kini ditarik balik) untuk melegakan sakit kepala selama 2 jam, kelegaan sakit kepala selama 24 jam, atau penggunaan ubat penyelamat.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my

Tools
Information
Share/Save