Terapi intravena jangka pendek berbanding jangka panjang menggunakan antibiotik yang sama untuk radang paru-paru yang serius yang diperoleh dari komuniti pada kanak-kanak berusia dua bulan hingga 59 bulan

Soalan ulasan

Penyelidik menjalankan ulasan ini untuk menentukan sama ada terdapat sebarang perbezaan dalam hasil rawatan intravena antibiotik jangka pendek (dua hingga tiga hari) dan antibiotik intravena (tunggal atau bergabung dengan antibiotik oral) jangka panjang (lima hari) untuk kanak-kanak berusia dua bulan hingga 59 bulan dengan radang paru-paru yang teruk.

Latar belakang

Radang paru-paru adalah jangkitan paru-paru (selalunya disebabkan oleh virus atau bakteria) yang menyebabkan kira-kira 1.3 juta kematian setiap tahun pada kanak-kanak di bawah usia lima tahun. Terdapat kira-kira 120 juta kes radang paru-paru baru di kalangan kanak-kanak di bawah usia lima tahun di dunia setiap tahun, di mana sekitar 14 juta menjadi radang paru-paru yang teruk. Sebilangan besar kes baru radang paru-paru berlaku di kalangan kanak-kanak di negara berpendapatan rendah.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan lima hari rawatan antibiotik intravena untuk kanak-kanak yang mengalami radang paru-paru yang teruk. Rawatan di hospital untuk kanak-kanak yang mengalami radang paru-paru yang teruk memberi beban yang ketara pada kanak-kanak dan keluarga mereka, termasuk perbelanjaan yang besar, kehilangan rutin, dan penurunan kualiti hidup. Mengurangkan masa yang dihabiskan di hospital untuk rawatan berpotensi mengurangkan beban penyakit dan boleh menyebabkan pematuhan rawatan yang lebih baik.

Tarikh carian

Penyelidik telah melakukan pencarian terakhirnya pada 22 Disember 2016, dan mengenal pasti tiada kajian yang memenuhi kriteria inklusi.

Keputusan utama

Penyelidik tidak menemui sebarang kajian yang berkaitan untuk dimasukkan ke dalam ulasan ini. Doktor mesti terus merawat kanak-kanak dengan radang paru-paru yang teruk mengikut cadangan WHO sehingga bukti lanjut boleh didapati.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save