Latihan keibubapaan untuk ibu bapa dengan ketakupayaan intelektual

Soalan ulasan

Adakah intervensi latihan keibubapaan membantu ibu bapa dengan ketakupayaan intelektual untuk berperanan ibu bapa dengan secukupnya?

Latar belakang

Ibu bapa dengan ketakupayaan intelektual mungkin lebih sukar berbanding ibu bapa lain untuk menyediakan penjagaan kanak-kanak yang mencukupi. Program-program latihan keibubapaan adalah satu cara menyediakan sokongan. Kami mengulas bukti mengenai kesan program-program latihan keibubapaan untuk ibu bapa dengan ketakupayaan intelektual. Kami mendapati empat kajian rawak terkawal (RCT; sejenis eksperimen di mana orang-orang yang serupa dimasukkan ke dalam kumpulan-kumpulan yang berbeza).

Tarikh Carian

Bukti adalah terkini sehingga Julai 2017.

Ciri-ciri kajian

Empat RCTs telah dijalankan di Australia, Kanada, Netherlands dan AS, dan melibatkan 192 ibu dan bapa. Setiap satu mengkaji intervensi berlainan dan melihat hasil yang berbeza. Semua kecuali tujuh daripada ibu bapa yang menyertainya adalah para ibu.

Kanak-kanak berumur antara satu bulan hingga enam tahun dan lima bulan. Tiga intervensi telah dijalankan di rumah, dan satu di tempat komuniti (misalnya sebuah gereja). Tempoh intervensi adalah di antara tujuh minggu hingga 12 bulan. Ianya termasuk pelbagai kemahiran praktikal penjagaan kanak-kanak, keselamatan di rumah dan membangunkan keupayaan ibu bapa untuk respon secara sensitif kepada anak-anak mereka. Para ibu bapa dalam kumpulan kawalan menerima rawatan seperti biasa.

Sumber pendanaan kajian

Setiap kajian ditaja oleh badan-badan penaja yang berbeza. Satu kajian dibiaya oleh Yayasan Kesihatan Mental Ontario dan Kementerian Komuniti dan Program Geran Penyelidikan Perkhidmatan Sosial Ontario. Satu lagi telah dibiaya oleh Majlis Pembangunan Kurang Upaya Alabama. Yang ketiga telah dibiaya oleh Inisiatif Pendidikan Amalan Terbaik Keibubapaan Jabatan Keluarga dan Perkhidmatan Komuniti Komanwel dan Jabatan Penuaan dan Kurang Upaya New South Wales. Kajian keempat telah dibiaya oleh ZonMw, Organisasi Netherlands untuk Pembangunan dan Penyelidikan Kesihatan.

Keputusan utama

Berbanding dengan ibu bapa yang tidak mendapat latihan keibubapaan, kajian melaporkan beberapa penambahbaikan dalam ibu bapa yang berada dalam kumpulan intervensi. Satu kajian melaporkan penambahbaikan dalam amalan yang selamat di rumah, pengesahan penyakit kanak-kanak dan penggunaan ubat-ubatan dengan selamat, yang memihak kepada kumpulan intervensi. Satu lagi kajian melaporkan penambahbaikan dalam penjagaan kanak-kanak dan keselamatan, juga memihak kepada kumpulan intervensi; dan kajian ketiga mendapati ibu bapa yang telah menghadiri latihan keibubapaan kurang melaporkan stres berkaitan dengan penjagaan kanak-kanak berbanding kumpulan kawalan.

Kajian keempat melaporkan penambahbaikan dalam interaksi ibu-anak dalam kumpulan intervensi berbanding dengan kumpulan kawalan. Tiada kajian melaporkan intervensi menyebabkan bahaya.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah di antara sangat rendah hingga sederhana.

Kesimpulan

Terdapat beberapa bukti berkualiti rendah bahawa intervensi latihan keibubapaan bagi ibu bapa dengan ketakupayaan intelektual mungkin menyokong peranan keibubapaan. Ia juga mungkin membantu mewujudkan hubungan baik antara ibu bapa dan anak. Walau bagaimanapun, dengan kualiti bukti yang rendah, keputusan-keputusan hendaklah ditafsir dengan berhati-hati. Penyelidikan berkualiti lebih baik diperlukan untuk menilai keberkesanan intervensi latihan keibubapaan bagi ibu bapa dengan ketakupayaan intelektual. Kajian-kajian ini harus melibatkan para bapa dan susulan peserta untuk tempoh masa yang lebih lama.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail, Kolej Perubatan Melaka-Manipal. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information
Share/Save