Fototerapi pencegahan untuk mengelakkan penyakit kuning dalam bayi yang tidak cukup matang dan kurang berat kelahiran

Bayi pramatang (kurang dari 37 minggu usia kandungan) atau berat lahir rendah (LBW; berat lahir kurang dari 2500 gram) mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat penyakit kuning berbanding dengan bayi yang cukup bulan dan mempunyai berat lahir yang normal. Ini membimbangkan kerana penyakit kuning (yang disebabkan oleh tahap unconjugated bilirubin yang tinggi dalam serum darah) boleh menyebabkan kerosakan otak yang berkekalan dan/atau kematian.

Dalam kajian sistematik ini, kami telah menilai keberkesanan dan keselamatan fototerapi pencegahan dalam mengelakkan penyakit kuning untuk bayi pramatang dan bayi yang kurang berat. Sebanyak sembilan kajian klinikal yang melibatkan 3,449 bayi telah dimasukkan dalam ulasan ini. Hasil kajian sistematik menunjukkan bahawa fototerapi yang dimulakan dengan segera selepas kelahiran (dalam tempoh 36 jam) untuk bayi yang pramatang atau yang kurang berat badan boleh menghalang bilirubin serum daripada mencecah tahap yang terlalu tinggi sehingga memerlukan pertukaran pemindahan darah dan mengurangkan risiko kemerosotan otak dan perkembangan sistem saraf pusat. Walau bagaimanapun, kajian lanjutan yang direka dengan baik adalah perlu untuk menilai kesan fototerapi pencegahan pada perkembangan otak dan sistem saraf pusat serta kesan jangka panjang lain pada bayi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Raymond Chieng Siang Ching (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Teguh Haryo Sasongko (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi raymondchieng@gmail.com

Tools
Information
Share/Save