Adakah terapi tingkah laku kognitif sama berkesan seperti penjagaan standard untuk orang dengan skizofrenia

Latar belakang

Orang dengan penyakit mental serius seperti skizofrenia boleh mengalami gangguan teruk dalam proses pemikiran mereka, yang boleh membawa kepada delusi (kepercayaan yang tidak berdasarkan realiti) dan halusinasi (melihat dan mendengar benda yang tidak benar-benar ada). Rawatan utama (memberi paling banyak sokongan untuk keadaan tersebut) untuk skizofrenia adalah ubat antipsikotik, tetapi ubat tersebut tidak selalunya berjaya apabila diguna bersendirian dan rawatan tambahan seperti terapi psikologi (termasuk terapi tingkah laku kognitif (CBT)) telah dicadangkan untuk orang dengan skizofrenia. CBT bertujuan membantu orang menilai semula pandangan mereka terhadap simptom mereka. Proses ini difikir membantu mengurangkan distres dan mengubah tingkah laku. Ia kerap digunakan untuk membantu orang dengan penyakit seperti keresahan dan kemurungan. Walau bagaimanapun, CBT adalah mahal dan bukti keberkesannya tidak jelas, terutama untuk orang dengan skizofrenia.

Carian

Pakar Maklumat Skizofrenia Cochrane mencari daftar khusus untuk kajian yang memperuntukkan orang dengan skizofrenia untuk menerima sama ada CBT atau penjagaan standard (penjagaan yang peserta biasa terima untuk keadaan mereka, di kawasan kajian dijalankan), sehingga Mac 2017. Carian tersebut mendapati 1730 rekod. Pengarang ulasan memeriksa dan menyaring rekod-rekod tersebut.

Keputusan utama

Selepas saringan keputusan, kami dapat menyertakan 60 kajian dengan 5992 peserta. Kajian-kajian tersebut memperuntukkan peserta dengan skizofrenia secara rawak untuk menerima sama ada CBT sebagai rawatan tambahan kepada penjagaan standard mereka atau penjagaan standard sahaja. Kualiti bukti untuk hasil utama kami kebanyakannya sangat rendah, atau paling baik, rendah. Keputusan menunjukkan penambahan CBT kepada penjagaan standard tidak mempengaruhi risiko jangka panjang untuk relaps. Hanya dua kajian (82 peserta) menyediakan data yang berguna untuk keadaan global jangka panjang; data tersebut menunjukkan CBT mungkin lebih baik untuk penambahbaikan jangka panjang keadaan global berbanding penjagaan standard sahaja. Menambah CBT kepada penjagaan standard boleh mengurangkan risiko kejadian buruk tetapi tidaklah lebih baik berbanding penjagaan standard untuk memperbaiki keadaan mental jangka panjang. Sama ada menambah CBT kepada penjagaan standard memperbaiki kualiti hidup atau fungsi sosial masih tidak jelas.

Kesimpulan

Pada masa ini, bukti sedia ada tidak jelas dan tidak cukup untuk membuat kesimpulan kukuh tentang keberkesanan menambah CBT kepada penjagaan standard untuk orang dengan skizofrenia berbanding penjagaan standard sahaja.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save