Menggunakan pesari servikal untuk menghalang kelahiran pramatang.

Kelahiran bayi sebelum cukup bulan menyebabkan lebih dari separuh kematian dalam kalangan bayi baru lahir. Serviks (bahagian pangkal rahim) yang lemah dan kehamilan kembar merupakan faktor risiko yang lazim. Teknik perawatan yang berbeza termasuk ‘jahitan pada serviks’ (cervical cerclage) untuk menguatkan bahagian pangkal rahim dan menghalangnya daripada terbuka awal. Walaupun ianya melibatkan pembedahan yang mudah, jahitan pada serviks ini memerlukan pembiusan dan boleh menimbulkan komplikasi pendarahan dan mengakibatkan jangkitan dan kehilangan kehamilan. Terdapat beberapa kontroversi berkenaan manfaat jahitan pada pangkal rahim dan wanita yang memperolehi manfaat daripadanya. Menutup serviks dengan menggunakan cincin silikon (pesari servikal) yang dikeluarkan pada 37 minggu adalah mudah, kurang invasif kerana tidak memerlukan pembiusan dan mungkin dapat menggantikan pembedahan jahitan pada seviks. Pada ketika ini, data yang didapati daripada satu kajian klinikal yang dijalankan secara rawak mendapati pesari servikal adalah lebih baik berbanding pengurusan secara ‘tunggu dan lihat sahaja’ untuk mencegah kelahiran pramatang dalam kalangan 385 wanita antara 18 hingga 22 minggu kehamilan. Kemasukan ke rawatan pediatrik neonatal berkurangan dalam kumpulan pesari berbanding kumpulan ‘tunggu dan lihat sahaja’. Wanita ini mempunyai kehamilan tunggal dan berisiko tinggi mengalami kelahiran pramatang disebabkan oleh pangkal rahim (serviks) yang pendek. Dalam kumpulan pesari, 27 wanita perlu menjalani reposisi pesari tanpa perlu dikeluarkan dan satu kes pesari perlu dikeluarkan. Keputusan dari kedua-dua kajian rawak dan bukan rawak menunjukkan penggunaan pesari meningkatkan pengeluaran lelehan pada faraj. Lebih banyak kajian pada keadaan berbeza diperlukan, dengan kehamilan tunggal dan kembar yang mana kelemahan serviks disebabkan oleh penyebab lain, untuk mengesahkan keputusan satu kajian dalam sorotan ini. Beberapa kajian sedang dijalankan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nik Hazlina Nik Hussain (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi hazlinakck@usm.my

Tools
Information