Perbandingan teknik pernafasan kitaran aktif (ACBT) dengan kaedah terapi klearans saluran udara lain dalam kalangan orang yang menghidap fibrosis sista

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti mengenai kesan teknik pernafasan kitaran aktif (ACBT) berbanding dengan kaedah terapi klearans saluran udara lain dalam kalangan orang yang menghidap fibrosis sista.

Latarbelakang

Jangkitan kronik adalah lazim bagi pesakit fibrosis sista, dan jangkitan berulang boleh menyebabkan kerosakan paru-paru dan penyakit lain. Pesakit fibrosis sista menggunakan terapi klearans saluran udara untuk membersihkan lendir dan meningkatkan fungsi paru-paru. Teknik pernafasan kitaran aktif menggunakan gabungan tiga kaedah pernafasan untuk melonggarkan dan membersihkan lendir. Ini adalah kemaskini bagi ulasan terbitan terdahulu.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga: 25 April 2016

Ciri-ciri kajian

Walaupun 19 kajian yang membandingkan teknik pernafasan kitaran aktif dengan kaedah klearans saluran udara lain, tetapi hanya lima kajian (192 peserta) melaporkan data yang boleh dimasukkan dalam analisis. Setiap satu daripada lima kajian membandingkan pelbagai teknik pernafasan yang berbeza: teknik pernafasan kitaran aktif telah dibandingkan dengan saliran autogenik, alat saluran udara berayun, alat mampatan dada berfrekuensi tinggi, tekanan positif ekspirasi, dan fisioterapi dada konvensional. Kebanyakan kajian berlangsung selama satu hari, tetapi terdapat dua kajian yang berlangsung antara satu hingga tiga tahun. Julat umur peserta adalah dari enam hingga 63 tahun dan sebahagian besar (63%) adalah lelaki.

Keputusan utama

Kami mendapati teknik pernafasan kitaran aktif adalah setanding dengan hasil rawatan lain dalam segi kualiti hidup, pilihan peribadi, toleransi senaman, fungsi paru-paru, berat kahak, ketepuan oksigen, dan bilangan serangan paru-paru. Kami tidak dapat menunjukkan teknik yang mana satu adalah lebih baik daripada yang lain. Kajian yang lebih lama diperlukan untuk menilai kesan teknik pernafasan kitaran aktif ke atas hasil yang penting bagi pesakit fibrosis sista seperti kualiti hidup dan pilihan peribadi.

Kualiti bukti

Kebanyakan kajian tidak memberi butiran kaedah yang cukup untuk mengenalpasti jika terdapat bias yang mungkin boleh mempengaruhi keputusan kajian. Kebanyakan kajian tidak melaporkan bagaimana mereka membuat keputusan siapa yang akan mendapat rawatan yang mana satu dan bagaimana mereka memastikan orang yang meletakkan peserta ke dalam kumpulan rawatan yang berbeza dan mereka yang menilai keputusan tidak tahu peserta berada dalam kumpulan yang mana satu. Kebanyakan kajian yang dimasukkan dalam ulasan ini mempunyai reka bentuk pindah silang (di mana peserta mendapat suatu rawatan dan kemudian beralih kepada rawatan kedua), dan kebanyakan kajian tidak melaporkan tempoh masa di antara rawatan yang berbeza. Oleh kerana rawatan pertama mungkin boleh mempengaruhi hasil rawatan yang seterusnya, kami hanya memasukkan keputusan dari rawatan pertama. Kebanyakan kajian tidak melaporkan keputusan yang berasingan untuk rawatan pertama, oleh itu kami tidak memasukkan keputusan mereka dalam ulasan kami.

Semua peserta tahu kumpulan rawatan mereka (sukar untuk menyembunyikan teknik fisioterapi yang berbeza). Ini boleh mempengaruhi keputusan yang dilaporkan oleh peserta sendiri seperti kualiti hidup, pilihan peribadi, atau toleransi senaman, tetapi tidak akan menjejaskan keputusan yang lebih objektif, seperti fungsi paru-paru.

Kebanyakan kajian mengikuti peserta kurang daripada satu bulan dan ini dilakukan untuk kebanyakan peserta sepanjang tempoh kajian. Dua daripada tiga kajian yang mempunyai tempoh lebih lama, lebih 10% daripada peserta tercicir. Keputusan kajian boleh terjejas jika peserta yang tercicir daripada kajian tidak sama rata di antara kumpulan rawatan yang berbeza.

Lebih separuh daripada kajian-kajian ini memeriksa sama ada peserta telah menggunakan terapi klearans saluran udara yang sepatutnya. Kebanyakan kajian melaporkan semua hasil kajian yang telah dirancang.

Hasil ulasan ini adalah terhad kerana tidak banyak kajian yang membuat perbandingan yang sama; juga tidak terdapat banyak kajian jangka panjang dan kajian yang kami masukkan tidak melaporkan data yang mencukupi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Raymond Chieng Siang Ching (Melaka Manipal Medical College). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi raymondchieng@gmail.com. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail, Kolej Perubatan Melaka-Manipal.

Tools
Information
Share/Save