Vitamin dan mineral untuk kurang kesuburan dalam kalangan wanita

Soalan ulasan:
Adakah suplemen antioksidan oral berbanding plasebo, tanpa rawatan/rawatan piawai atau dengan antioksidan lain dapat meningkatkan hasil kesuburan untuk wanita kurang subur? 'Rawatan piawai' melibatkan kurang daripada 1 mg asid folik.

Latar belakang:
Ramai wanita kurang subur yang menjalani rawatan kesuburan juga mengambil suplemen pemakanan dengan harapan untuk meningkatkan kesuburan mereka. Ini boleh menjadi waktu yang sangat menekan bagi para wanita dan pasangan mereka. Adalah penting pasangan-pasangan ini diberi bukti berkualiti tinggi yang akan membolehkan mereka membuat keputusan yang tepat tentang sama ada mengambil suplemen antioksidan apabila menjalani rawatan kesuburan akan meningkatkan peluang mereka atau menyebabkan apa-apa kesan buruk. Ini adalah penting kerana kebanyakan suplemen antioksidan tidak dikawal di bawah peraturan ubat-ubatan. Ulasan ini bertujuan untuk menilai sama ada suplemen dengan antioksidan oral meningkatkan peluang wanita kurang subur untuk menjadi hamil dan mendapat bayi.

Tarikh carian:
Bukti adalah terkini sehingga September 2019.

Ciri-ciri kajian:
Ulasan ini merangkumi 63 kajian terkawal rawak yang membandingkan antioksidan dengan plasebo atau tanpa rawatan/rawatan piawai, atau dengan antioksidan lain, dalam sejumlah 7760 wanita.

Sumber pembiayaan:
Sumber pembiayaan dilaporkan oleh hanya 27 daripada 63 kajian yang dirangkumkan.

Keputusan utama:
Kami tidak pasti sama ada penggunaan antioksidan akan meningkatkan kelahiran hidup, kerana buktinya adalah berkualiti sangat rendah. Berdasarkan keputusan kami, kami menjangkakan daripada 100 wanita kurang subur yang tidak mengambil antioksidan, 20 orang akan mendapat seorang bayi, berbanding antara 24 hingga 36 wanita daripada setiap 100 orang yang akan mendapat seorang bayi jika mengambil antioksidan. Bukti berkualiti rendah menunjukkan bahawa antioksidan mungkin dikaitkan dengan peningkatan kadar kehamilan klinikal. Kesan sampingan tidak dilaporkan sepenuhnya, tetapi penggunaan antioksidan nampaknya tidak menyebabkan lebih banyak keguguran, kelahiran kembar, kesan pencernaan atau kehamilan ektopik.

Bukti berkualiti rendah mencadangkan bahawa tidak ada perbezaan dalam kadar kelahiran hidup atau kehamilan klinikal apabila membandingkan dos melatonin yang lebih rendah dengan dos yang lebih tinggi. Di sini kami menjangkakan daripada 100 wanita kurang subur yang mengambil melatonin dalam dos rendah, 24 orang akan mendapat seorang bayi, berbanding antara 12 hingga 40 wanita daripada setiap 100 orang yang akan mendapat seorang bayi jika mengambil melatonin dalam dos yang lebih tinggi.

Tiga kajian melaporkan keguguran dalam perbandingan antioksidan dengan antioksidan (dua menggunakan dos melatonin dan satu membandingkan N-asetilcysteine dengan L-carnitine). Tidak ada keguguran dalam mana-mana kajian melatonin tersebut. Kehamilan kembar dan gangguan gastrointestinal tidak dilaporkan, dan kehamilan ektopik dilaporkan oleh hanya satu kajian, tanpa kesan sampingan.

Kajian membandingkan N-asetilcysteine dengan L-carnitine tidak melaporkan kadar kelahiran hidup. Bukti berkualiti sangat rendah tidak menunjukkan bukti perbezaan dalam kehamilan klinikal. Bukti berkualiti rendah tidak menunjukkan perbezaan dalam keguguran. Kajian ini tidak melaporkan kehamilan kembar, gangguan gastrointestinal atau kehamilan ektopik.

Kualiti bukti:
Keseluruhan kualiti bukti adalah terbatas dengan risiko bias yang serius yang berkaitan dengan pelaporan kaedah yang lemah, tidak tepat dan tidak konsisten.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save