Kaedah-kaedah untuk penyaliran cecair yang mengandungi sel-sel kanser yang terkumpul dalam abdomen wanita yang menghidapi kanser ginekologi

Latar belakang

Asites malignan adalah cecair yang terbina dalam rongga abdomen yang disebabkan oleh kanser berkaitan. Wanita yang mempunyai kanser ovari lanjutan dan sebahagian daripada wanita yang mempunyai kanser rahim lanjutan sering memerlukan penyaliran untuk asites malignan bagi mengurangkan ketidakselesaan. Garis panduan untuk menasihati penjaga kesihatan profesional yang terlibat dalam penyaliran asites biasanya dihasilkan secara tempatan dan pada amnya berdasarkan pengalaman pengamal perubatan.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian sehingga November 2019 yang membandingkan cara-cara yang berbeza dalam pengurusan saliran cecair yang terkumpul dalam abdomen wanita yang menghidap kanser ginekologi (kanser yang bermula dalam organ pembiakan wanita).

Keputusan utama dan kualiti bukti

Ulasan asal 2010 tidak menjumpai sebarang kajian yang relevan. Ulasan yang dikemaskini ini memasukkan satu kajian terkawal rawak (RCT: sejenis kajian di mana orang dibahagikan secara rawak untuk menerima rawatan yang berbeza) yang melibatkan 245 wanita yang membandingkan gabungan saliran dan catumaxomab (ubat yang digunakan untuk rawatan asites malignan) dengan saliran sahaja. Walau bagaimanapun, keputusan adalah tidak mencukupi untuk menilai perbezaan antara rawatan-rawatan ini. Walaupun wanita yang menerima saliran yang digabungkan dengan catumaxomab mempunyai kualiti hidup (kesejahteraan umum seseorang) yang lebih lama berbanding dengan saliran semata-mata, kami sangat tidak pasti tentang bukti ini disebabkan bilangan peserta dan kajian yang kecil. Terdapat beberapa kesan sampingan pada kumpulan yang menerima gabungan saliran dan catumaxomab (contohnya kesakitan, bilangan sel darah putih yang rendah), tetapi hal ini tidak dilaporkan dengan menyeluruh. Pada masa ini, tidak ada data yang mencukupi tentang pengurusan saliran yang terbaik untuk asites malignan dalam kalangan wanita dengan kanser ginekologi.

Bukti adalah terkini sehingga 4 November 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Tan Shing Cheng (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi sctan@ukm.edu.my.

Tools
Information