Apakah jangkitan strongyloides dan bagaimana ivermectin mungkin berfungsi
Strongyloides stercoralis ialah parasit yang hidup dalam usus orang yang dijangkiti. Jangkitan ini tidak serius bagi kebanyakan orang, tetapi boleh membawa maut kepada orang dengan kekurangan imun. Individu dijangkiti apabila mereka bersentuhan dengan tanah atau air yang tercemar dengan cacing berjangkit. Jangkitan kronik biasanya menyebabkan ruam kulit, muntah, cirit-birit, sembelit, dan masalah pernafasan seperti penyakit yang menyerupai asma. Penyakit ini boleh dirawat dengan ivermectin, albendazole, atau thiabendazole. Kami ingin mengetahui sama ada ivermectin lebih baik atau lebih buruk daripada terapi alternatif lain.
Apa yang dikatakan oleh penyelidikan
Kami mengulasi bukti mengenai kesan ivermectin berbanding albendazole dan thiabendazole. Selepas mencari kajian yang relevan sehingga Ogos 2015, kami menyertakan tujuh kajian rawak terkawal, melibatkan 1147 orang dewasa dengan jangkitan kronik strongyloides, yang dijalankan antara tahun 1994 dan 2011 di lokasi berbeza (Afrika, Asia Tenggara, Amerika, dan Eropah). Empat kajian menilai keberkesanan ivermectin berbanding albendazole, dan tiga kajian menilai keberkesanan ivermectin berbanding thiabendazole.
Perbandingan ivermectin dengan albendazole
Rawatan dengan ivermectin mungkin menyembuhkan lebih ramai orang berbanding albendazole ( bukti berkualiti sederhana ), dan mungkin sama atau lebih baik diterima oleh pesakit ( bukti berkualiti rendah ). Kajian yang disertakan tidak melaporkan kejadian buruk serius atau kematian.
Perbandingan Ivermectin dengan thiabendazole
Rawatan dengan ivermectin dan thiabendazole mungkin menyembuhkan bilangan orang yang serupa dengan jangkitan Strongyloides ( bukti kualiti rendah ), tetapi ivermectin mungkin lebih baik diterima ( bukti kualiti sederhana ). Kajian yang disertakan tidak melaporkan kejadian buruk serius atau kematian.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Keesha Ravintharan (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia).