Menghentikan atau meneruskan penggunaan ubat antipsikotik jangka panjang untuk gejala tingkah laku dan psikologi dalam kalangan orang tua dengan demensia

Soalan ulasan

Kami menyiasat kesan menghentikan ubat antipsikotik dalam kalangan orang tua dengan demensia yang telah mengambilnya selama tiga bulan atau lebih.

Latar belakang

Orang yang mengalami demensia mungkin mengalami gejala dan masalah tingkah laku yang membimbangkan dan sukar untuk diurus oleh penjaga. Gejala tersebut (sering digambarkan sebagai gejala neuropsikiatri atau NPS) termasuk kegelisahan, apati, kemurungan, psikosis (halusinasi dan delusi), merayau, mengulang perkataan atau bunyi, menjerit, dan bertindak dengan keresahan atau cara yang agresif, atau kedua-duanya.

Ubat antipsikotik sering dipreskrib dengan tujuan mengawal gejala dan tingkah laku ini, walaupun panduan terkini menunjukkan ubat-ubatan ini hanya boleh digunakan untuk jangka masa pendek bagi tingkah laku yang paling mencabar. Ini terutama kerana ubat-ubatan ini dianggap mempunyai risiko kesan sampingan (termasuk beberapa yang serius), dan kerana banyak masalah tingkah laku bertambah baik tanpa rawatan. Walau bagaimanapun, ramai orang dengan demensia terus mengambil ubat antipsikotik untuk tempoh masa yang lama.

Ulasan ini menyiasat sama ada orang tua dengan demensia dan NPS boleh menghentikan ubat antipsikotik yang mereka ambil selama sekurang-kurangnya tiga bulan. Ini adalah kemas kini Ulasan Cochrane yang diterbitkan pada 2013.

Kaedah-kaedah

Kami mencari sehingga 11 Januari 2018 untuk sebarang kajian rawak yang memperuntukkan beberapa orang dengan demensia yang mengambil ubat antipsikotik untuk meneruskan rawatan dan yang lain untuk menghentikan penggunaan ubat antipsikotik. Peserta kajian disusul untuk tempoh masa tertentu untuk melihat apa yang berlaku.

Keputusan

Kami memasukkan 10 kajian dengan jumlah 632 peserta dalam ulasan kami. Kami menambah satu kajian baru dengan 19 peserta untuk kemas kini ini. Kebanyakan peserta tinggal di pusat rawatan. Kajian-kajian tersebut berbeza dari segi orang yang disertakan, kaedah-kaedah yang mereka gunakan dan hasilnya yang diukur.

Oleh kerana kajian-kajian tersebut adalah pelbagai, adalah tidak mungkin untuk menggabungkan semua data secara berangka. Kami mendapati bukti yang berkualiti rendah bahawa orang tua dengan demensia mungkin dapat menghentikan ubat antipsikotik jangka panjang tanpa masalah tingkah laku menjadi semakin buruk. Walau bagaimanapun, dalam sesetengah orang dengan psikosis, agitasi atau keagresifan dan yang telah bertambah baik dengan ketara ketika mereka pertama kali memulakan rawatan antipsikotik, kami mendapati menghentikan ubat-ubatan mungkin meningkatkan risiko masalah tingkah laku untuk menjadi semakin buruk lagi. Sebaliknya, agitasi menurun selepas menghentikan ubat-ubatan dalam sesetengah peserta di mana NPS pada permulaan kajian adalah agak ringan.

Kami tidak menemui bukti yang cukup untuk mengetahui sama ada menghentkani ubat antipsikotik mempunyai kesan bermanfaat terhadap kualiti hidup, pemikiran dan ingatan, atau keupayaan menjalankan tugas harian, atau jika risiko kejadian berbahaya - seperti jatuh - dikurangkan. Kami tidak pasti sama ada menghentikan antipsikotik menyebabkan orang hidup lebih lama.

Kualiti bukti

Keseluruhannya, kualiti bukti adalah rendah atau sangat rendah. Ini bermakna kami berkeyakinan terhad atau sedikit dalam keputusan kajian, dan mungkin penyelidikan yang serupa boleh menemukan sesuatu yang berbeza. Sebab-sebab utama penilaian ini adalah kerana terdapat sedikit kajian-kajian yang melibatkan segelintir orang, dan berisiko keputusan-keputusan tidak dilaporkan sepenuhnya. Semua kajian yang dimasukkan bermasalah merekrut peserta yang cukup, menjadikannya lebih sukar bagi mereka untuk mengesan kesan menghentikan antipsikotik.

Kesimpulan

Bukti terhad menunjukkan menghentikan penggunaan ubat antipsikotik jangka panjang dalam kalangan orang tua dengan demensia dan NPS mungkin boleh dilakukan tanpa membuat tingkah laku mereka lebih buruk. Mungkin ada manfaat untuk mereka dengan NPS yang lebih ringan. Mungkin ada orang dengan gejala yang lebih teruk yang mendapat manfaat daripada rawatan yang berterusan, tetapi lebih banyak penyelidikan dalam kalangan orang dengan NPS yang lebih ringan dan lebih parah diperlukan untuk memastikan ini. Kesimpulan keseluruhan tidak berubah sejak versi terakhir ulasan ini dan bilangan kajian yang dimasukkan masih rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information