Adakah ubat untuk menurunkan berat badan mempengaruhi tekanan darah, dan mengurangkan kesan tekanan darah tinggi (hipertensi)?

Apakah tekanan darah tinggi (hipertensi)?

Tekanan darah adalah ukuran kekuatan yang digunakan jantung anda untuk mengepam darah ke seluruh badan anda. Ia biasanya ditunjukkan sebagai dua perkara: tekanan ketika jantung anda menolak keluar darah (tekanan sistole), dan tekanan ketika jantung anda berehat di antara denyutan (tekanan diastole). Tekanan darah dianggap tinggi apabila tekanan sistole melebihi 140 dan/atau tekanan diastole melebihi 90, sering ditulis sebagai ‘140 atas 90’ dan diukur dalam milimeter merkuri (mm Hg). Risiko mengalami tekanan darah tinggi meningkat apabila usia anda semakin meningkat.

Hipertensi boleh meningkatkan risiko seseorang mengalami masalah kesihatan jangka panjang yang serius, seperti serangan jantung atau angin ahmar. Penurunan tekanan darah dalam orang dengan hipertensi mengurangkan jumlah orang mengalami penyakit jantung dan saluran darah (penyakit kardiovaskular), yang menyebabkan kurang kematian dan masalah kardiovaskular.

Berat badan dan hipertensi

Garis panduan rawatan hipertensi mengesyorkan pengekakalan berat badan yang sihat dan penurunan berat badan apabila diperlukan. Sebilangan orang mungkin mengambil ubat untuk menurunkan berat badan mereka.

Mengapakah pengulas melakukan Ulasan Cochrane ini

Ubat yang dilesenkan untuk digunakan dalam penurunan berat badan di AS dan Eropah termasuk orlistat dan naltrexone digabungkan dengan bupropion. Kombinasi yang lain, phentermine dengan topiramate, dilesenkan di AS sahaja. Pengulas ingin mengetahui jika ubat penurun berat badan mempunyai kesan jangka panjang terhadap tekanan darah, dan sama ada ia boleh mengurangkan kesan tekanan darah tinggi yang tidak diingini terhadap kesihatan seseorang.

Apa yang pengulas lakukan?

Pengulas mencari kajian mengenai kesan pengambilan ubat penurun berat badan dalam orang dengan tekanan darah tinggi. Pengulas berminat dengan cara ubat ini mempengaruhi tekanan darah dan berat badan. Pengulas juga ingin mengetahui seramai mana orang mengalami sebarang kesan yang tidak diingini, seramai mana orang mengalami penyakit kardiovaskular, dan jika ada orang yang mati.

Pengulas mencari kajian rawak terkawal, dengan keadaan rawatan yang diterima orang ditentukan secara rawak. Kajian jenis ini biasanya memberikan bukti yang paling boleh dipercayai mengenai kesan rawatan.

Pengulas menilai kebolehpercayaan bukti yang mereka temui. Pengulas mempertimbangkan faktor-faktor seperti: bagaimana kajian itu dijalankan, berapa ramai orang yang terlibat, dan sama ada penemuan mereka konsisten sepanjang kajian.

Tarikh carian: Pengulas menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga Mac 2020.

Apa yang pengulas temui

Pengulas menemui enam kajian yang melibatkan 12,724 orang dengan tekanan darah tinggi (purata usia 46 hingga 62 tahun). Kajian-kajian itu dijalankan di AS (3 kajian) dan Eropah (3 kajian), dan berlangsung dari 6 bulan ke 28 bulan.

Semua kajian membandingkan kesan pengambilan ubat penurun berat badan dengan kesan-kesan pengambilan ubat palsu (plasebo).

Apakah keputusan ulasan mereka?

Orlistat mungkin menurunkan berat badan dan mungkin juga mengurangkan tekanan darah (4 kajian; 2058 orang).

Phentermine ditambah topiramate mungkin menurunkan berat badan dan mungkin mengurangkan tekanan darah (1 kajian; 1305 orang).

Naltrexone ditambah bupropion mungkin menurunkan berat badan tetapi mungkin tidak mengurangkan tekanan darah (1 kajian; 8283 orang).

Satu kajian melihat kepada risiko kematian dan kesan-kesan kardiovaskular utama yang tidak diingini; ia menunjukkan tiada perbezaan dia antara rawatan naltrexone ditambah bupropion dan plasebo selepas dua tahun.

Orang yang mengambil ubat penurun berat badan melaporkan lebih banyak kesan tidak diingini daripada mereka yang mengambil plasebo. Kesan tidak diingini yang paling lazim adalah masalah penghadaman (untuk orlistat, dan phentermine ditambah topiramate), mulut kering dan rasa sesemut atau kekebasan pada kulit (untuk naltrexone ditambah bupropion).

Bolehkah keputusan ini dipercayai?

Keputusan adalah daripada jumlah kajian yang kecil. Dalam beberapa kajian, terdapat sedikit kejadian untuk beberapa ukuran yang mearik minat pengulas.

Pengulas berkeyakinan sederhana mengenai cara orlistat dan naltrexone ditambah bupropion memberi kesan terhadap penurunan berat badan dan tekanan darah. Walau bagaimanapun, keputusan mungkin berubah jika lebih banyak bukti tersedia.

Pengulas kurang yakin mengenai kesan phentermine ditambah topiramate; kesan orlistat yang tidak diingini, dan risiko kejadian kardiovaskular tidak diingini yang berkaitan dengan naltrexone ditambah bupropion. Keputusan berkemungkinan berubah jika lebih banyak bukti tersedia.

Kesimpulan

Beberapa ubat penurun berat badan mengurangkan berat badan dan tekanan darah dalam orang dengan tekanan darah tinggi, tetapi mungkin menyebabkan kesan yang tidak diingini. Pengulas tidak menemui bukti yang mencukupi sama ada mengambil ubat penurun berat badan untuk menurunkan berat badan dapat mengurangkan kematian dan penyakit kardiovaskular.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney) Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information