Antibiotik yang diberi di rumah atau di klinik pada bayi yang baru lahir yang disyaki mempunyai jangkitan serius di negara berpendapatan rendah dan sederhana

Soalan ulasan

Di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana, adakah antibiotik yang diberi di rumah atau di klinik merupakan cara yang berkesan untuk mengubati bayi baru lahir dengan jangkitan bakteria yang serius?

Latar belakang

Memandangkan keadaan mereka yang sangat lemah, bayi baru lahir yang disyaki mempunyai jangkitan bakteria yang serius dinasihatkan untuk dimasukkan ke hospital dan menerima antibiotik intravena (melalui darah). Walau bagaimanapun, rawatan di hospital tidak dapat diberikan pada keluarga yang tinggal di negara-negara yang mempunyai sumber yang terhad. Oleh itu, kaedah alternatif untuk memberi antibiotik kepada bayi yang baru lahir telah dikaji. Merawat bayi yang baru dilahirkan di luar hospital bergantung kepada pekerja kesihatan komuniti dengan latihan khusus yang terhad, untuk mendiagnosis jangkitan, memberi ubat, dan melakukan pemeriksaan susulan untuk melihat respon bayi yang baru lahir, sama ada di rumah atau di klinik. Antibiotik juga boleh diberikan secara oral supaya ibu bapa dapat memberikannya di rumah, tetapi antibiotik oral mungkin kurang efektif berbanding antibiotik intravena.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari di pangkalan data perubatan dan mendapati dua jenis kajian yang menkaji persoalan kami. Satu kumpulan di dalam lima kajian mengkaji komuniti di mana bayi baru lahir yang tidak sihat ditawarkan antibiotik di rumah atau klinik bergerak dan membandingkannya dengan komuniti di mana bayi yang baru lahir hanya menerima rujukan standard ke hospital. Kumpulan kedua dalam lima kajian merawat bayi baru lahir di rumah atau klinik dengan sama ada antibiotik intravena yang biasanya diberi di hospital atau dengan penggunaan antibiotik yang lebih mudah yang boleh diberi secara oral. Kajian-kajian ini dijalankan di pelbagai negara di sub-Sahara Afrika dan Asia Selatan. Bukti ini adalah terkini sehingga 16 April 2018.

Keputusan utama

Terdapat pengurangan risiko kematian apabila bayi yang baru lahir diberi antibiotik di rumah atau klinik berbanding dengan bayi baru lahir yang hanya dirujuk ke hospital, namun hasil ini berdasarkan bukti berkualiti rendah. Di samping itu, majoriti kajian yang meneliti antibiotik berasaskan rumah atau klinik menyertakan intervensi lain, seperti penjagaan yang lebih baik pada saat kelahiran, yang mungkin mempengaruhi hasil penemuan.

Bukti berkualiti sederhana menunjukkan rejimen antibiotik yang melibatkan kekerapan suntikan yang rendah dan boleh diberi di rumah atau klinik tidak menyebabkan kematian yang lebih kepada bayi baru lahir berbanding rejimen antibiotik yang kebiasaannya bergantung semata-mata kepada pemberian suntikan. Berdasarkan hasil ini, rejimen antibiotik yang lebih mudah yang diberikan di rumah atau klinik boleh dianggap sebagai rawatan alternatif untuk bayi baru lahir yang tidak boleh mendapat rawatan hospital. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk diingatkan bahawa kajian dijalankan di bawah keadaan ideal dengan tahap pemantauan pesakit yang kerap. Penyelidikan tambahan dalam situasi dunia sebenar dengan sumber terhad adalah disyorkan untuk menentukan sama ada hasil kajian adalah benar.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah dari berkualiti sangat rendah hingga sederhana.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Erni Zurina Romli (Malaysian Health Technology Assessment Section). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti sains Malaysia). Nota terjemahan CD007646.pub3

Tools
Information
Share/Save