Bolehkah intervensi senaman meningkatkan kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan di kalangan pesakit kanser?

Pesakit kanser sering mengalami banyak kejadian psikologi dan fizikal akibat kanser dan rawatan untuknya. Mereka juga menderita daripada kualiti hidup (QoL) yang lebih rendah daripada orang yang tidak menghidap kanser. Beberapa kajian menunjukkan bahawa senaman mungkin bermanfaat dalam mengurangkan hasil negatif dan meningkatkan QoL orang yang telah selesai menjalani rawatan kanser. Juga, QoL yang lebih baik dapat meramalkan jangka hayat yang lebih lama. Ulasan ini melihat kesan senaman pada QoL dan bidang kehidupan yang membentuk QoL (misalnya keletihan, keresahan, kesihatan emosi) di kalangan orang yang telah menyelesaikan semua rawatan kanser.

Ulasan ini merangkumi 40 kajian dengan jumlah keseluruhan 3694 orang. Hasilnya menunjukkan bahawa senaman dapat meningkatkan QoL keseluruhan sejurus program senaman selesai. Senaman juga dapat mengurangkan kerisauan seseorang terhadap kanser, dan mempengaruhi cara orang itu melihat badannya. Senaman juga dapat membantu cara orang menangani emosi, seksualiti, masalah tidur, atau fungsi dalam masyarakat. Senaman juga mengurangkan keresahan, keletihan, dan kesakitan pada waktu yang berlainan semasa dan selepas program senaman. Tidak ada kesan senaman pada kemampuan seseorang untuk berfikir dengan jelas atau peranannya dalam masyarakat. Juga, tidak ada kesan senaman yang dijumpai pada cara orang itu melihat kesihatan rohani atau jasmani, atau kemampuan fizikalnya.

Walau bagaimanapun, penemuan ini perlu dilihat dengan berhati-hati kerana ulasan ini melihat pada pelbagai jenis program senaman, yang bervariasi berdasarkan jenis senaman, tempoh program, dan seberapa keras peserta kajian harus bersenam. Juga, penyelidik menggunakan beberapa cara yang berbeza untuk mengukur QoL.

Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk melihat cara mengekalkan kesan senaman dalam jangka masa yang lebih lama setelah program senaman selesai, dan untuk menentukan bahagian mana dari program senaman yang diperlukan (iaitu ketika memulakan program, jenis senaman, tempoh program atau sesi latihan, betapa sukar untuk bersenam). Juga penting untuk mengetahui sama ada satu jenis senaman lebih baik untuk jenis kanser tertentu daripada yang lain untuk kesan maksimum pada QoL.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save