Keberkesanan angioplasti berbanding sten dalam penyakit aterosklerotik arteri iliac

Latar belakang

Aterosklerosis dalam arteri iliac (arteri pelvis utama ke arah kaki) boleh menyebabkan penyempitan atau halangan (penyumbatan), menyebabkan pengurangan aliran darah ke kaki. Ini dipanggil penyakit penyumbatan arteri iliac. Penyakit penyumbatan arteri iliac boleh menyebabkan gejala-gejala kesakitan pada kaki ketika berjalan (klaudikasi sekejap-sekejap), sakit semasa rehat, atau ulser kaki. Terdapat pelbagai pilihan rawatan pembedahan dan endovaskular (dari dalam arteri, contohnya angioplasti). Prosedur pembedahan terbuka mempunyai kadar patensi yang sangat baik (peratusan saluran darah yang kekal terbuka) tetapi dengan kos yang besar bagi penyakit dan kematian. Rawatan endovaskular mempunyai keselamatan dan keberkesanan jangka pendek yang baik dengan pengurangan penyakit, komplikasi dan kos berbanding dengan prosedur pembedahan terbuka. Angioplasti translumen perkutaneus (PTA; pelebaran arteri dengan belon) dan sten (memasukkan tiub jejaring yang kecil) adalah pilihan rawatan endovaskular yang digunakan dengan meluas untuk penyakit penyumbatan arteri iliac. Penyempitan atau penyumbatan arteri iliac boleh dirawat dengan jayanya dengan PTA sahaja. Jika PTA sahaja tidak berjaya, tambahan sten boleh diletakkan. Sebagai alternatif, sten boleh diletakkan dengan sendiri untuk merawat penyempitan atau penyumbatan iliac (ini dipanggil sten primer (PS)). Walau bagaimanapun, bukti adalah terhad untuk membuktikan strategi rawatan endovaskular yang mana adalah lebih baik untuk luka yang menyekat arteri iliac. Ulasan ini menyiasat sama ada lebih baik untuk meletakkan sten pada awalnya, atau hanya dalam keadaan tertentu.

Ciri-ciri kajian dan keputusan utama

Kami tidak menemui kajian baru untuk kemas kini ini. Sebelum ini, kami telah mengenal pasti dua kajian dengan jumlah gabungan 397 peserta yang relevan dengan topik ini. Penggabungan data adalah tidak mungkin kerana perbezaan antara dua kajian yang disertakan itu. Bukti dalam Ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga 24 September 2019.

Bagi hasil-hasil yang menarik berikut, tiada perbezaan yang jelas timbul antara dua jenis rawatan tersebut: kejayaan teknikal prosedur, penambahbaikan bagi keparahan penyakit penyumbatan arteri, atau patensi saluran darah yang dirawat. Walau bagaimanapun, dalam satu kajian, yang hanya menyertakan penyumbatan arteri iliac, kurang komplikasi didapati dalam kumpulan peserta yang dirawat dengan PS. Tiada kajian melaporkan tentang komplikasi lewat. Satu kajian melaporkan intervensi semula, dan penyelesaian gejala dan tanda-tanda, dengan tiada bukti perbezaan yang dikesan antara kumpulan PS dan kumpulan PTA. Tiada kajian melaporkan peningkatan dalam jarak berjalan. Lebih banyak penyelidikan mengenai perkara ini adalah diperlukan.

Kebolehpercayaan bukti

Kedua-dua kajian mempunyai beberapa risiko bias berkaitan dengan pelaporan selektif dan tidak membutakan peserta dan kakitangan. Kedua-dua kajian berlaku pada tahun 1990-an dan teknik sejak itu telah berkembang. Kami menganggap kepastian tentang bukti keseluruhan sebagai rendah disebabkan risiko bias ini, jumlah kajian disertakan yang kecil dan perbezaan dalam jenis pesakit yang disertakan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang soalan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save