Restorasi amalgam terikat perekat atau amalgam tidak terikat untuk karies gigi.

Soalan ulasan

Adakah penambahan bahan perekat untuk melekatkan tampalan amalgam pergigian pada gigi membolehkan tampalan berfungsi lebih baik berbanding tampalan tanpa perekat?

Latarbelakang

Kerosakan gigi adalah masalah lazim yang mempengaruhi kanak-kanak dan orang dewasa. Kaviti terbentuk pada gigi akibat tindakbalas asid yang dihasilkan oleh bakteria di dalam plak atau biofilem.

Beberapa teknik dan pelbagai bahan boleh diguna untuk merestorasi atau menampal gigi yang berkaries.Antara bahan tampalan yang lazim dan murah ialah amalgam pergigian (campuran merkuri dan partikel aloi logam).Penulis sorotan telah menilai faedah penggunaan bahan perekat untuk mengikat amalgam pada struktur gigi bagi melihat sama ada tampalan terikat lebih tahan dan berfungsi lebih baik.

Ciri kajian

Bukti sorotan yang dibuat oleh penulis Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane ini adalah terkini sehingga 21 Januari 2016.Satu kajian klinikal melibatkan 31 peserta (21 lelaki, 10 wanita) yang menerima 113 restorasi.Kajian dibuat di UK dalam persekitaran hospital pergigian universiti.Peserta yang sesuai dipilih semasa rawatan pergigian rutin.Perbandingan dibuat di antara gigi dalam individu yang sama pada bahagian berlawanan mulut, di mana satu bahagian dirawat dengan teknik ikatan dan satu lagi tanpa ikatan.Setelah dua tahun tiada perbezaan diperolehi.

Keputusan utama

Hanya satu kajian yang memberi maklumat terhad, menunjukkan bahawa bagi tampalan bersaiz sederhana, tiada perbezaan sensitiviti di antara tampalan terikat berbanding tidak terikat dan ikatan amalgam kepada gigi tidak memberi kesan pada ketahanan tampalan untuk tempoh dua tahun.Oleh kerana kekurangan bukti terhadap faedah amalgam terikat perekat berbanding tampalan amalgam tidak terikat, adalah penting untuk para klinikal beringat tentang kos tambahan yang mungkin terlibat.

Terdapat pelbagai jenis agen perekat yang direka sejak beberapa tahun lalu yang boleh diguna oleh pengamal pergigian.Namun, adalah amat mengecewakan kerana kurangnya kajian klinikal yang sesuai untuk menilai keberkesanannya.

Kualiti bukti

Hanya ada satu kajian yang tidak memberi bukti bahawa restorasi amalgam terikat perekat adalah lebih baik berbanding restorasi amalgam yang tidak terikat setelah dua tahun susulan.

Kualiti bukti adalah rendah. Tambahan pula, peserta kajian dari klinik pergigian universiti mungkin tidak mewakili populasi umum dan rawatan yang diberi mungkin tidak lazim seperti praktis pergigian umum, maka keputusan tidak dapat disimpulkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal).Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my

Tools
Information
Share/Save