Intervensi psikologi untuk pesalah seksual atau mereka yang telah melakukan kesalahan seksual atau berisiko melakukan kesalahan seksual

Melakukan kesalahan seksual adalah isu sosial dan kesihatan awam. Kaji selidik mangsa menunjukkan penderaan seksual adalah lazim dan kebanyakannya tidak dibawa ke perhatian sistem keadilan jenayah.

Intervensi psikologi secara umumnya berdasarkan teori tingkah laku atau psikodinamik. Intervensi mungkin direka untuk mengubah pemikiran, perasaan atau pandangan pesalah terhadap hubungan, dengan tujuan utama mengubah tingkah laku mereka.

Satu ulasan Cochrane yang diterbitkan 10 tahun yang lalu mempertimbangkan bukti untuk rawatan psikologi bagi pesalah seksual dan mendapati tidak cukup data untuk mencapai sebarang kesimpulan (Kenworthy 2003). Ulasan semasa kami adalah berdasarkan protokol baru dan carian kesusasteraan yang dijalankan pada September 2010.

Kami meneliti bukti keberkesanan intervensi psikologi untuk pesalah-pesalah seksual atau merekan yang dianggap mungkin melakukan kesalahan seksual. Kami mengecualikan intervensi bagi pesalah-pesalah seks dengan ketidakupayaan untuk belajar kerana ini adalah subjek ulasan Cochrane yang berasingan (Ashman 2008).

Kami mengenal pasti 10 kajian relevan yang melibatkan data daripada 944 orang dewasa, semuanya lelaki. Beberapa kajian tersebut memberi maklumat mengenai hasil utama ulasan ini, iaitu mengulangi kesalahan seksual. Ini adalah kerana kajian-kajian tidak mengumpul data untuk tempoh yang cukup lama di luar penjara atau persekitaran rawatan. Banyak kajian bergantung kepada ukuran hasil lain (contohnya kemarahan atau kemahiran sosial) yang dipilih oleh penyiasat dengan harapan ia berkait dengan beberapa cara melakukan kesalahan akan datang, walaupun tidak dapat dinyatakan dengan pasti bahawa kaitan tersebut boleh meramalkan dengan yakin pesalah mengulangi kesalahan.

Lima kajian yang kami dapati melibatkan 664 lelaki dan terutamanya menggunakan intervensi tingkah laku kognitif (CBT). Dalam kajian terbesar, yang mempunyai 'pakej' rawatan paling kompleks dan sengit di dalam dan di luar penjara, tiada perbezaan di antara kumpulan yang telah menerima CBT dan mereka yang tidak berisiko mengulangi kesalahan, yang mana diukur oleh sabitan semula untuk kesalahan seksual.

Satu kajian, melibatkan 231 lelaki, membandingkan intervensi psikodinamik dengan penjagaan piawai, iaitu percubaan, dan mencadangkan bahawa percubaan adalah sedikit lebih baik dari segi mengurangkan kesalahan seksual berulang.

Program tingkah laku dilihat dalam empat kajian yang melibatkan 70 orang lelaki. Untuk dua kajian, tiada cukup data yang dilaporkan untuk menilai keberkesanan rawatan. Bagi baki dua kajian, keputusan yang menggalakkan berhubung sabitan semula dan desakan yang dilapor sendiri perlu diberi perhatian teliti kerana kajian adalah agak lama, bermaksud ramai peserta tidak akan mencari atau ditawarkan rawatan, kerana beberapa tingkah laku yang disasarkan tidak lagi dianggap jenayah/menyalahi undang-undang.

Data untuk peristiwa buruk, 'desakan anomali seksual' dan bagi hasil sekunder yang dianggap sebagai faktor risiko 'dinamik' untuk kesalahan berulang, termasuk kemarahan dan gangguan kognitif, adalah terhad.

Kami membuat kesimpulan bahawa kajian rawak terkawal lanjutan sangat diperlukan dalam bidang ini, agar masyarakat tidak terpedaya dengan anggapan palsu merasakan seolah-olah selamat dengan mempercayai bahawa apabila individu telah dirawat, maka risiko mereka mengulangi kesalahan dikurangkan. Pada masa ini, bukti tidak menyokong kepercayaan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save