Pasukan pakar untuk pengangkutan neonatal ke unit rawatan rapi neonatal untuk pencegahan morbiditi dan kematian

Soalan ulasan: Adakah pasukan pengangkutan pakar berbanding dengan pasukan pengangkutan bukan pakar meningkatkan hasil klinikal untuk bayi baru lahir yang memerlukan pengangkutan ke unit rawatan rapi neonatal?

Latarbelakang: Bayi baru lahir yang berisiko tinggi cenderung mempunyai hasil yang lebih baik jika dilahirkan di pusat yang mempunyai Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU). Walaupun amat dianjurkan wanita yang mempunyai faktor risiko tinggi dipindahkan ke pusat-pusat dengan kemudahan NICU untuk kelahiran, ada ketika ia tidak dapat dielakkan dan kelahiran berlaku di pusat-pusat yang tidak berupaya merawat bayi yang baru lahir. Oleh itu, keperluan untuk kakitangan kesihatan yang dilatih khas dalam pengangkutan neonatal adalah penting untuk memastikan bahawa bayi-bayi ini adalah stabil dan dihantarkan ke hospital dengan NICU. Kajian semula ini telah dijalankan untuk mengetahui sama ada pasukan pengangkutan neonatal dengan latihan khas, berbanding dengan pasukan pengangkutan umum, mempunyai hasil klinikal yang lebih baik.

Ciri-ciri kajian: Tiada kajian dikenalpasti layak untuk dimasukkan dalam ulasan ini.

Keputusan utama: Tidak ada bukti dari kajian rawak terkawal untuk menyokong atau menyangkal bahawa pasukan pakar untuk pengangkutan neonatal mengurangkan kematian dan morbiditi dalam kalangan bayi baru lahir yang memerlukan pemindahan ke NICU. Mungkin perlu untuk bergantung kepada bukti daripada kajian kelompok (di mana kumpulan-kumpulan hospital dibandingkan) atau reka bentuk kajian bukan rawak yang bermutu untuk memberikan jawapan kepada soalan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Foo Sook Lee (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi fslee@pmc.edu.my. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal).

Tools
Information