Apakah faedah dan risiko rawatan yang berlainan dalam mengubati lupus eritematosus sistemik (penyakit autoimun yang menyerang seluruh tubuh badan)

Mengapa soalan ini penting?

Lupus erythematosus sistemik (SLE; atau 'lupus') adalah penyakit di mana sistem kekebalan tubuh menyerang tisu-tisu sihat bahagian badan dengan salah. Ia mempengaruhi 7.5 juta orang di seluruh dunia. Kira-kira 70% orang yang terjejas mengalami masalah kulit seperti ruam pada hidung atau pipi. Selalunya, SLE menyebabkan sakit pada sendi dan otot, dan keletihan yang melampau. Gejala boleh bertambah baik untuk sementara, atau menjadi teruk secara tiba-tiba (suar). Dalam kes yang teruk, SLE boleh menyebabkan kerosakan pada jantung, paru-paru, otak, atau ginjal.

Penawar untuk SLE tidak wujud. Namun, ada rawatan yang direka untuk memperbaiki gejala. Secara khususnya, terdapat pelbagai pilihan untuk merawat masalah kulit.

• Ubat yang boleh diminum (oral), digunakan sebagai krim, atau diberikan sebagai suntikan.

• Terapi untuk membantu orang mengatasi masalah kulit mereka, seperti terapi bercakap.

• Pendekatan lain, termasuk ubat herba, terapi cahaya atau solekan.

Untuk mengetahui rawatan mana yang paling sesuai untuk penghidap SLE, dan untuk membandingkan kesan buruk (tidak diingini), kami mengkaji bukti dari kajian penyelidikan.

Bagaimana kami mengenal pasti dan menilai bukti?

Kami mencari literasi perubatan untuk kajian yang membandingkan mana-mana rawatan untuk penyakit kulit pada SLE dengan:

• plasebo (rawatan palsu);

• tiada rawatan;

• rawatan lain; atau

• dos rawatan yang berbeza pada rawatan yang sama.

Kami kemudiannya membandingkan keputusan-keputusannya dan merumuskan bukti dari semua kajian. Akhirnya, kami menilai keyakinan kami terhadap bukti tersebut, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian, dan konsistensi penemuan merentasi semua kajian.

Apa yang kami temui?

Kami menemui 61 kajian yang merangkumi 11,232 orang (kebanyakannya wanita) dan menyiasat 43 rawatan yang berbeza. Sebilangan besar rawatan berlangsung selama satu tahun, dan orang disusul sehingga 48 bulan.

Di sini kami melaporkan penemuan utama tinjauan kami mengenai kesan lima ubat oral yang berbeza: hydroksichloroquine, chloroquine, methotrexate, ciclosporin dan azathioprine.

Kehilangan masalah kulit

Kami tidak tahu sama ada hidroksichloroquine lebih baik atau lebih buruk daripada plasebo untuk menghilangkan masalah kulit kerana tiada kajian melaporkan maklumat mengenai perkara ini.

Bukti mencadangkan:

• chloroquine mungkin lebih baik dalam membaikpulihkan masalah kulit hilang selepas 12 bulan daripada plasebo (1 kajian, 24 orang);

• apabila kita membandingkan methotrexate dan choloroquine, mungkin ada sedikit atau tiada perbezaan dalam seberapa kerap mereka menghilangkan ruam kulit selepas enam bulan (1 kajian, 25 orang);

• methotrexate mungkin lebih baik dalam menghilangkan masalah kulit selepas enam bulan daripada plasebo (1 kajian, 41 orang); dan

• mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam seberapa kerap masalah kulit hilang selepas 12 bulan antara ciclosporin dan aziathropine (1 kajian, 25 orang).

Hilangnya sebilangan masalah kulit (sekurang-kurangnya 50% peningkatan keadaan kulit)

Tidak jelas jika hidroksicholoroquine lebih baik atau lebih buruk daripada plasebo sehingga kehilangan sebilangan masalah kulit sekurang-kurangnya selepas 12 bulan. Ini kerana buktinya terlalu tidak tepat (1 kajian, 20 wanita hamil).

Tidak ada kajian lain yang mengkaji bagaimana rawatan menyebabkan hilangnya sebahagian masalah kulit.

Suar

Bukti menunjukkan bahawa selepas enam bulan, suar mungkin lebih kurang berlaku dengan hidroksiklorokuin daripada dengan plasebo (1 kajian, 47 orang).

Tidak jelas jika suar lebih banyak, atau kurang, kemungkinan berlaku selepas 12 bulan dengan methotrexate berbanding plasebo (1 kajian, 86 orang).

Tidak ada kajian lain yang melaporkan maklumat mengenai bagaimana rawatan mempengaruhi suar.

Kejadian buruk

Bukti sering tidak tepat, dan sama ada rawatan menyebabkan lebih banyak atau lebih kurang kejadian buruk daripada plasebo atau rawatan lain tidak jelas.

Kami mendapati data yang terhad untuk kejadian buruk, dan laporannya tidak sesuai, tetapi hidroksichloroquine, chloroquine dan methotrexate mempunyai kesan buruk yang terkenal termasuk masalah perut dan hati. Hidroksichloroquine dan chloroquine boleh menyebabkan masalah mata, dan methotrexate dapat menyebabkan bahaya serius pada bayi yang sedang berkembang jika diambil semasa tempoh kehamilan.

Hasil-hasil lain

Kami tidak tahu bagaimana rawatan mempengaruhi aspek-aspek lain keparahan penyakit atau kualiti hidup. Ini kerana kajian tidak melaporkan maklumat mengenai perkara ini.

Apakah maksudnya?

Apabila dibandingkan dengan plasebo, kajian pada orang dengan SLE menunjukkan bahawa:

• lebih sedikit suar mungkin berlaku dengan hidroksichloqoruine; dan

• methotrexate dan chloroquine mungkin lebih baik untuk membuat masalah kulit hilang.

Walau bagaimanapun, maklumat mengenai kesan buruk adalah tidak mencukupi.

Sejauh mana tinjauan ini dikemas kini?

Bukti ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga Jun 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USMKK). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save