Operasi pembedahan untuk palsi Bell (paralisis muka idiopatik)

Palsi Bell adalah paralisis otot muka, biasanya pada satu sisi, yang tidak diketahui puncanya. Gejala-gejala mungkin berlaku apabila saraf di muka terperangkap dan membengkak. Orang dengan palsi Bell umumnya pulih tetapi terdapat sekumpulan kecil yang tidak. Sesetengah pakar bedah berpendapat operasi untuk membebaskan saraf tersebut dapat memperbaiki pemulihan. Kami melakukan ulasan ini untuk menilai kesan pembedahan untuk palsi Bell berbanding tiada rawatan, jenis pembedahan lain, rawatan palsu atau rawatan dengan ubat-ubatan.

Selepas carian yang meluas untuk kajian rawak terkawal, kami mendapati dua kajian untuk dimasukkan ke dalam ulasan kami, yang melibatkan 69 orang dengan palsi Bell. Ukuran utama kami tentang kesan pembedahan adalah pemulihan paralisis pada 12 bulan. Kajian pertama membandingkan pembedahan dengan ubat steroid dan kajian kedua membandingkan pembedahan dengan tanpa rawatan. Dalam kajian pertama, pembedahan dan kumpulan tanpa pembedahan mempunyai pemulihan saraf muka yang serupa pada sembilan bulan. Kajian kedua tidak mendapati perbezaan dalam pemulihan paralisis muka selepas satu tahun, di antara peserta yang menjalani operasi dan mereka yang tidak menerima rawatan. Seorang peserta yang menjalani pembedahan dalam kajian pertama mengalami kehilangan pendengaran ringan dan vertigo (pening) selepas pembedahan. Kedua-dua kajian mempunyai batasan yang boleh mempengaruhi keputusan.

Ulasan ini mula-mula diterbitkan pada 2011. Kami mengemas kini carian pada Oktober 2012 dan tidak menemui sebarang kajian relevan yang baharu.

Ulasan ini mendapati hanya ada bukti berkualiti sangat rendah dan ini tidak cukup untuk menentukan sama ada operasi akan membantu atau memudaratkan orang dengan palsi Bell. Tidak mungkin ada penyelidikan lanjut peranan operasi kerana palsi Bell biasanya pulih tanpa rawatan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save