Penggunaan pesanan telefon bimbit sebagai peringatan untuk menghadiri temujanji kesihatan

Kegagalan untuk menghadiri temujanji kesihatan memberi kesan bukan sahaja ke atas kesihatan pesakit tetapi juga kepada pengurusan sistem kesihatan. Dalam kajian ini (kemaskini daripada kajian asal yang diterbitkan pada Julai 2012), kami menilai sama ada penghantaran peringatan tentang temujanji kepada pesakit menggunakan mesej teks telefon bimbit (Perkhidmatan Pesanan Ringkas (SMS) dan Khidmat Mesej Multimedia (MMS)) boleh meningkatkan kepatuhan mereka untuk menghadiri temujanji.

Ulasan ini merangkumi lapan kajian rawak terkawal yang diterbitkan sehingga Ogos 2012, yang melibatkan 6615 peserta. Empat daripadanya adalah kajian baru yang dimasukkan dalam ulasan ini. Terdapat kualiti bukti yang rendah dan sederhana yang menunjukkan bahawa peringatan melalui mesej teks telefon bimbit meningkatkan kehadiran temujanji kesihatan berbanding dengan tiada peringatan diberikan atau surat peringatan melalui pos, dan ia mempunyai impak yang sama kepada kehadiran sebagaimana peringatan melalui panggilan telefon. Dua kajian melaporkan bahawa kos bagi setiap kehadiran melalui peringatan mesej teks telefon bimbit adalah kurang daripada peringatan melalui panggilan telefon.

Satu kajian melaporkan secara umum bahawa tiada kesan buruk dalam tempoh kajian; tiada satu pun kajian yang melaporkan mengenai kesan buruk tertentu seperti kehilangan privasi, salah tafsiran data, atau kegagalan penghantaran mesej. Kajian-kajian yang termasuk dalam ulasan ini tidak melaporkan keputusan kesihatan atau persepsi orang ramai tentang keselamatan yang berkaitan dengan menerima peringatan melalui mesej teks. Lebih banyak ujian rawak diperlukan untuk menilai kesan peringatan melalui mesej telefon bimbit ke atas kadar kehadiran temujanji kesihatan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syafiqa M Saleh. Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi syafiqa.saleh@gmail.com.

Tools
Information