Melahirkan uri dengan pengendalian aktif, sepatutnya atau kombinasi dalam fasa ketiga kelahiran

Terjemahan ini tidak kemaskini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan Sistematik ini.

Latar Belakang

Apabila bayi dilahirkan, rahim (uterus) akan terus mengecut lalu menyebabkan uri terpisah daripada dinding uterus. Ibu seterusnya akan melahirkan uri atau 'after-birth'. Ini dipanggil pengendalian sepatutnya bagi fasa ketiga kelahiran. Pengendalian aktif fasa ketiga merangkumi tiga komponen: 1) memberi ubat (uterotonik) untuk mengecutkan rahim; 2) mengapit tali pusat awal (selalunya sebelum, semasa, atau sebaik sahaja memberikan uterotonik), dan ini dilakukan sebelum denyutan tali pusat berhenti; 3) Tali pusat ditarik sambil memberikan tekanan berlawanan pada uterus untuk melahirkan uri (tarikan uri terkawal). Cara spesifik bagi ketiga-tiga komponen tersebut selalunya berbeza. Pengendalian kombinasi menggunakan sebahagian, tetapi bukan kesemua, tiga komponen tersebut. Pengendalian aktif telah diperkenalkan untuk mengurangkan kehilangan darah yang banyak semasa kelahiran (pendarahan/tumpah darah). Ini adalah sebab utama kematian wanita di negara-negara berpendapatan rendah di mana wanita-wanitanya adalah lebih berkemungkinan untuk mengalami kekurangan zat makanan, kurang darah dan mempunyai penyakit berjangkit. Di negara yang berpendapatan tinggi, pendarahan teruk kurang berlaku tetapi pengendalian aktif tetap menjadi amalan standard di banyak negara.

Soalan sorotan kami

Dalam ulasan ini, kami melihat kepada pelbagai cara untuk mengendali fasa ketiga pelahiran, dan bertanya apa manfaat dan bahaya bagi semua wanita terutamanya bagi wanita yang berisiko rendah untuk mengalami pendarahan serius? Kami menjumpai tujuh kajian sehingga May 2014 yang melibatkan 8247 wanita. Kesemuanya bertempat di hospital, enam di negara berpendapatan tinggi dan satu di negara berpendapatan rendah. Empat kajian membandingkan pengendalian aktif dengan sepatutnya dan tiga membandingkan pengendalian aktif dengan kombinasi.

Apa yang ditunjukkan oleh kajian-kajian tersebut

Secara keseluruhannya, kualiti bukti adalah rendah dan lebih banyak data diperlukan untuk meyakini penemuan tersebut. Untuk semua wanita, tanpa mengira risiko pendarahan serius, pengendalian aktif mengurangkan pendarahan serius dan anemia. Namun, ia turut mengurangkan berat lahir bayi dan meningkatkan tekanan darah ibu, sakit, muntah dan bilangan wanita yang kembali ke hospital dengan pendarahan. Bagi wanita yang berisiko rendah untuk pendarahan, penemuannya sama walaupun tiada perbezaan dalam risiko untuk pendarahan serius.

Kesimpulan

Semua wanita seharusnya dimaklumkan semasa antenatal untuk membantu mereka membuat pilihan berdasarkan fakta. Beberapa kesan buruk yang dialami oleh para ibu mungkin dapat dielak dengan menggunakan ubat-ubatan khusus. Penangguhan apitan tali pusat mungkin bermanfaat kepada bayi dengan mengelakkan pengurangan berat masa lahir jika tali pusat diapit awal tetapi lebih banyak kajian perlu dilakukan. Selain itu, pendarahan serius mungkin dapat dikurangkan hanya dengan memberikan uterotonik tanpa melibatkan bahagian lain dalam pengendalian aktif. Lebih banyak kajian diperlukan terutamanya di negara berpendapatan rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Nursyahirah binti Johari (Melaka-Manipal Medical College). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi nursyahirahjohari@gmail.com. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my

Share/Save