Melahirkan uri di peringkat ketiga kelahiran

Apakah isunya?

Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk melihat pelbagai cara untuk melahirkan uri selepas kelahiran bayi; pengendalian sepatutnya, aktif atau kombinasi. Kami bertanya, apakah manfaat dan kemudaratan kepada wanita, khususnya wanita yang berisiko rendah dengan pendarahan yang banyak? Kami telah mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini (22 Januari 2018).

Mengapa ini penting?

Apabila bayi dilahirkan, rahim (uterus) akan terus mengecut lalu menyebabkan uri terpisah daripada dinding uterus. Ibu seterusnya akan melahirkan uri. Ini dipanggil pengendalian sepatutnya bagi fasa ketiga kelahiran. Pengendalian aktif fasa ketiga melibatkan tiga komponen: 1) memberi ubat (uterotonik) untuk membantu mengecutkan rahim; 2) mengapit tali pusat awal (selalunya sebelum, semasa, atau sebaik selepas pemberian uterotonik); 3) Tali pusat ditarik sambil memberikan tekanan berlawanan pada uterus untuk mengeluarkan uri (tarikan uri terkawal). Pengendalian kombinasi menggunakan sebahagian, tetapi bukan kesemua, tiga komponen tersebut. Pengendalian aktif telah diperkenalkan untuk mengurangkan kehilangan darah yang banyak semasa kelahiran (pendarahan/tumpah darah). Ini adalah sebab utama kematian wanita di negara-negara berpendapatan rendah di mana wanita-wanitanya adalah lebih berkemungkinan untuk mengalami kekurangan zat makanan, kurang darah dan mempunyai penyakit berjangkit. Di negara yang berpendapatan tinggi, pendarahan teruk kurang berlaku tetapi pengendalian aktif tetap menjadi amalan standard di banyak negara.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami menjumpai lapan kajian yang menyumbang data dan melibatkan 8892 wanita dan bayi. Semua kajian dijalankan di hospital, tujuh di negara berpendapatan tinggi dan satu di negara berpendapatan rendah. Empat kajian membandingkan pengendalian aktif dengan sepatutnya dan empat membandingkan pengendalian aktif dengan kombinasi.

Secara keseluruhannya, kualiti bukti adalah rendah atau sangat rendah dan kita perlukan banyak data untuk meyakini penemuan tersebut. Untuk semua wanita, tanpa mengira risiko pendarahan serius, pengendalian aktif mungkin mengurangkan pendarahan serius dan anemia. Namun, ia mungkin turut mengurangkan berat lahir bayi dan meningkatkan tekanan darah ibu, sakit, muntah dan bilangan wanita yang kembali ke hospital dengan pendarahan. Penemuan adalah sama untuk pendarahan bagi wanita berisiko rendah, walaupun ia tidak jelas jika terdapat apa-apa perbezaan dalam kejadian pendarahan yang teruk atau anemia.

Apakah maksudnya?

Semua wanita seharusnya dimaklumkan sebelum mereka melahirkan untuk membantu mereka membuat pilihan berdasarkan fakta. Beberapa kesan buruk yang dialami oleh para ibu mungkin dapat dielak dengan menggunakan ubat-ubatan khusus. Penangguhan apitan tali pusat mungkin bermanfaat kepada bayi dengan mengelakkan pengurangan berat masa lahir jika tali pusat diapit awal tetapi lebih banyak kajian perlu dilakukan. Selain itu, pendarahan serius mungkin dapat dikurangkan hanya dengan memberi uterotonik tanpa melibatkan bahagian lain dalam pengendalian aktif. Lebih banyak kajian diperlukan terutamanya di negara berpendapatan rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Nursyahirah binti Johari (Melaka-Manipal Medical College). Dikemakini oleh Nila Pillai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save