Terapi psikologi dalam kalangan dewasa yang menderita sakit dan ketakupayaan berlarutan.

Ramai orang menderita sakit yang berlarutan, yang tidak lega oleh ubat-ubatan, surgeri atau terapi fizikal. Pencarian untuk suatu diagnosis dan melegakan sakit sering lama, tidak menggalakkan dan memudaratkan. Bagi sesetengah orang, sakit boleh membawa kepada ketakupayaan, kemurungan, kebimbangan dan pemencilan sosial. Ia juga dikaitkan dengan kecenderungan untuk mengalami kebanyakan atau semua hal kehidupan dirosakkan oleh kesakitan, ibarat malapetaka yang mustahil untuk dikawal. Perubahan besar kehidupan ini bukanlah tidak boleh dielakkan dan dilihat sekurang-kurangnya boleh berbalik menggunakan rawatan yang bertujuan mengurangkan ketakupayaan dan penderitaan walaupun sakit berlarutan. Rawatan adalah berdasarkan prinsip psikologi teguh yang dibangunkan sepanjang 40 tahun penggunaan klinikal.

Carian kami menemui 42 kajian rawatan yang memenuhi kriteria kami, tetapi hanya 35 kajian menyediakan data dalam bentuk yang boleh diguna. Dua jenis rawatan psikologi utama dinamakan terapi tingkah laku kognitif (CBT) dan terapi tingkah laku. Kedua-duanya memfokus untuk membantu orang mengubah tingkah laku yang mengekalkan atau menerukkan sakit, ketakupayaan, penderitaan dan fikiran katastrofik; CBT juga secara terus menangani masalah pemikiran dan perasaan orang yang sakit berterusan. Kesan kedua-dua rawatan ini terhadap sakit, ketakupayaan, mood dan fikiran katastrofik diuji sejurus selepas rawatan dan enam bulan kemudian.

Kajian-kajian yang membandingkan CBT dengan tiada rawatan mendapati manfaat kecil hingga sederhana, lebih kepada ketakupayaan, mood dan fikiran katastrofik . Sesetengah kajian masih positif selepas enam bulan. Rawatan tingkah laku menunjukkan manfaat yang sedikit dan singkat. Terapi psikologi boleh membantu orang dengan sakit kronik untuk mengurangkan mood negatif (kemurungan dan kebimbangan), ketakupayaan, fikiran katastrofik, dan dalam sesetengah kes, rasa sakit. Walaupun kesan keseluruhan adalah positif, kami tidak tahu secara tepat jenis rawatan manakah yang terbaik untuk seseorang.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wan Rosalina Wan Rosli( Cyberjaya University College of Medical Sciences). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi i wanrosalinawanrosli@gmail.com

Tools
Information
Share/Save