Steroid dimasukkan ke dalam mata berbanding pemerhatian untuk edema makula sekunder kepada oklusi vena retina pusat

Soalan ulasan

Kami berhasrat untuk mengkaji faedah dan kemudaratan memasukkan steroid ke dalam mata untuk merawat edema makula akibat oklusi vena retina pusat (CRVO-ME).

Latar belakang

Oklusi vena retina pusat (CRVO) ialah kelainan biasa pada saluran darah di retina (bahagian belakang mata yang menerima imej visual). CRVO biasanya muncul sebagai kehilangan penglihatan yang tidak menyakitkan pada sebelah mata orang yang berumur lebih dari 40 tahun yang sering mengalami masalah kesihatan lain seperti tekanan darah tinggi, diabetes, glaukoma dan penyakit darah. Edema makula (ME) ialah pembengkakan makula (kawasan tengah retina yang bertanggungjawab untuk penglihatan terperinci, seperti membaca dan melihat warna). ME ialah komplikasi CRVO dan merupakan punca utama kehilangan penglihatan dalam keadaan ini. Steroid yang dimasukkan ke dalam mata, sama ada melalui suntikan atau peranti yang diimplan, telah digunakan untuk merawat ME yang disebabkan oleh gangguan mata selain CRVO. Walaupun steroid boleh membawa kepada peningkatan dalam penglihatan, kesannya biasanya bertahan hanya beberapa bulan dan terdapat risiko menghidap glaukoma, katarak, dan komplikasi lain.

Ciri-ciri kajian

Penulis ulasan mencari penulisan perubatan sehingga 13 November 2014 dan memasukkan dua kajian rawak terkawal (GENEVA dan SCORE) yang telah menilai steroid pada 708 peserta dengan CRVO-ME. Kedua-dua kajian memasukkan peserta dengan ciri asas yang sama berkaitan dengan umur, jantina, dan penyakit bersama. GENEVA telah dijalankan di 24 negara di seluruh dunia dan SCORE telah dijalankan di AS. Kedua-dua kajian membandingkan dua dos steroid yang berbeza, tetapi penyelidik kedua-dua kajian menggunakan agen steroid yang berbeza dan kaedah penghantaran yang berbeza (implan berbanding suntikan). Kedua-dua kajian menerima tajaan penuh atau separa daripada pengilang ubat-ubatan.

Keputusan utama

Tiada kajian memberikan bukti yang mencukupi untuk menentukan sama ada steroid meningkatkan ketajaman penglihatan selepas enam bulan rawatan. Disebabkan oleh bukti yang terhad, kami tidak dapat menentukan dengan pasti sama ada implan steroid meningkatkan penglihatan pada mata dengan CRVO-ME. Walaupun kajian SCORE menunjukkan bahawa lebih banyak mata dalam kumpulan suntikan steroid mengalami peningkatan dalam penglihatan berbanding dengan mata dalam kumpulan pemerhatian, peserta yang dirawat dengan steroid dan mereka yang tidak dirawat dengan steroid kedua-duanya kehilangan penglihatan secara purata pada lapan bulan. Penyelidik GENEVA melaporkan tiada perbezaan dalam hasil penglihatan antara peserta yang dirawat dengan steroid dan mereka yang tidak dirawat dengan steroid selepas enam bulan rawatan; namun kajian GENEVA tidak terhad kepada peserta dengan hanya CRVO-ME dan memasukkan peserta dengan penyakit retina yang lain. Kedua-dua kajian menunjukkan bahawa pesakit yang dirawat dengan steroid mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk tekanan mata yang tinggi - memerlukan ubat tambahan untuk menurunkan tekanan mata - dan mengalami katarak.

Kualiti bukti kajian

Kualiti keseluruhan bukti adalah rendah disebabkan oleh perbezaan klinikal antara kajian, maklumat tersedia yang tidak lengkap untuk menilai hasil, dan kekurangan penyamaran yang boleh membawa kepada keputusan kajian yang berat sebelah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca Siswazah, IMMB, Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information