Tambahan vigabatrin untuk epilepsi fokal rintang ubat

Latar belakang

Epilepsi adalah gangguan neurologi yang lazim yang menjejaskan kira-kira 1 dalam 100 orang. Sekitar 30% pesakit ini tidak dapat mengawal epilepsi mereka dengan ubat antiepileptik yang sedia ada pada masa ini dan dikatakan mempunyai epilepsi rintang ubat. Selalunya, epilepsi rintang ubat bersifat fokal, bermakna sawan bermula di satu bahagian otak yang tertentu. Vigabatrin ialah ubat antiepileptik yang boleh digunakan sebagai rawatan tambahan untuk epilepsi fokal rintang ubat, bermakna ia diambil sebagai tambahan kepada ubat antiepileptik yang lain.

Keputusan utama

Kami menemui 11 kajian klinikal, melibatkan 756 orang, yang menyiasat vigabatrin sebagai tambahan untuk pesakit epilepsi fokal rintang ubat. Pesakit-pesakit dalam kajian-kajian ini berumur antara 10 hingga 64 tahun dan diberi dos 1 g/hari hingga 6 g/hari vigabatrin.

Kami mendapati pesakit yang diberi vigabatrin mungkin dua hingga tiga kali lebih cenderung untuk mengalami 50% atau lebih pengurangan bagi bilangan sawan daripada orang yang diberi plasebo (rawatan tidak aktif). Kami juga menunjukkan bahawa pesakit yang diberi vigabatrin mungkin sehingga tiga kali lebih cenderung untuk menghentikan rawatan daripada pesakit yang diberi plasebo. Pesakit yang diberi vigabatrin lebih cenderung untuk mengalami kesan-kesan sampingan: pening/pitam, keletihan, mengantuk dan kemurungan, daripada pesakit yang diberi plasebo. Walau bagaimanapun, bukti menunjukkan mereka patut tidak lebih cenderung untuk mengalami: ataksia (gangguan yang menjejaskan koordinasi, keseimbangan dan percakapan), merasa tidak sihat (loya), penglihatan tidak normal, sakit kepala, melihat dua kali ganda (diplopia), atau pergerakan mata di luar kawalan (nistagmus) daripada pesakit yang diberi plasebo.

Kebolehpercayaan bukti

Kami menilai semua kajian mempunyai risiko bias yang signifikan. Kajian-kajian tersebut tidak menjelaskan bagaimana pesakit diperuntukkan kepada kumpulan rawatan dan tidak mengatakan sama ada pengkaji mengetahui rawatan mana yang diterima seseorang. Bersama-sama sebab yang lain, ini mengurangkan keyakinan (kepastian) kami terhadap keputusan. Keseluruhannya, kami tidak pasti hingga sangat tidak pasti sama ada keputusan yang kami laporkan adalah boleh dipercayai. Kesan sebenar vigabatrin boleh jadi berbeza dengan signifikan dari apa yang dilaporkan di sini.

Kesimpulan

Vigabatrin mungkin mengurangkan kekerapan sawan dengan signifikan untuk pesakit epilepsi fokal rintang ubat tetapi kami tidak pasti. Kebanyakan bukti dikumpulkan dari orang dewasa, oleh itu, kesan-kesan vigabatrin mungkin berbeza dalam kanak-kanak. Semua kajian yang disertakan berdurasi pendek; oleh itu, kami tidak dapat melaporkan sebarang kesan jangka panjang vigabatrin. Paling penting, ulasan-ulasan kajian jangka panjang telah melaporkan bahawa penggunaan vigabatrin jangka panjang boleh menyebabkan perkembangan masalah penglihatan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information