Pemeriksaan serviks dengan ultrabunyi (ultrasound) bagi pencegahan kelahiran pramatang

Kami ingin menilai keberkesanan mengetahui panjang serviks, yang diukur dengan ultrabunyi, sebagai pencegahan kelahiran pramatang berbanding dengan tidak mengetahui panjang serviks.

Apakah isunya?

Serviks adalah bahagian paling bawah rahim yang bersambung pada faraj (vagina). Bagi wanita yang tidak mengandung, ia biasanya berukuran sekurang-kurangnya 3 sm panjang. Semasa mengandung, ukuran serviks yang pendek dikaitkan dengan risiko kelahiran pramatang yang spontan. Semakin pendek ukuran serviks, semakin besar risiko. Oleh itu, pengukuran panjang serviks dengan ultrabunyi boleh membantu meramal kelahiran pramatang yang spontan. Ukuran panjang serviks diukur dengan imbasan ultrabunyi melalui faraj (transvagina atau TVU), abdomen (transabdomen), atau perineum (transperineum). Antara penyebab utama kelahiran pramatang spontan adalah bersalin secara pramatang atau pecah ketuban secara pramatang. Kebanyakan intervensi yang digunakan bagi mencegah kelahiran pramatang digunakan sebaik sahaja tanda-tanda masalah ini bermula.

Kenapa ianya penting?

Kelahiran pramatang sebelum 37 minggu merupakan punca utama bayi yang baru lahir menjadi sakit dan kurang upaya, atau mati. Serviks adalah bukaan atau laluan yang mesti dilalui oleh bayi sebelum keluar melalui faraj. Ultrasound boleh mengesan perubahan awal serviks, seperti pemendekan ukuran serviks, untuk meramal kelahiran pramatang. Dalam mengenalpasti ukuran panjang serviks menjadi pendek, pelbagai intervensi boleh digunakan untuk mencegah kelahiran pramatang. Intervensi-intervensi tersebut termasuklah pemberian progesteron kepada ibu mengandung untuk merehatkan rahim, atau membuat jahitan, yang dikenali sebagai ‘cerclage’, untuk mengetatkan bukaan serviks.

Apakah bukti yang kami temui?

Kajian ini menilai samada pengetahuan mengenai ukuran panjang serviks dapat mencegah kelahiran pramatang. Kami menggunakan tujuh kajian rawak terkawal, yang melibatkan 923 wanita pada peringkat 14 hingga 32 minggu kehamilan. Satu kajian melibatkan para ibu hamil kembar, tanpa sebarang simptom kelahiran pramatang atau sedang dalam proses kelahiran pramatang, dan kajian ini mengkaji bilangan bayi yang dilahirkan pramatang sebelum 36 minggu. Empat kajian lain melibatkan para ibu hamilkan seorang bayi yang diancam kelahiran pramatang, dan satu kajian melibatkan wanita yang mengalami pecah ketuban secara pramatang dengan melihat kepada tahap keselamatan penggunaan ultrabunyi transvagina. Satu lagi kajian memasukkan para ibu hamilkan seorang bayi yang tidak mempunyai apa-apa simptom kelahiran pramatang atau mengalami proses kelahiran pramatang dengan melihat keberkesanan saringan ukuran panjang serviks melalui ultrabunyi transvagina. Semua kajian ini menggunakan ultrabunyi transvagina untuk menilai ukuran panjang serviks.

Bagi wanita hamil kembar dan tidak menunjukkan simptom kelahiran pramatang, kami kurang jelas terhadap kesan untuk mengetahui ukuran panjang serviks pada samada bayi yang lahir sebelum 34 minggu kehamilan, atau umur gestasi mereka pada kelahiran (1 kajian,125 wanita), kerana kami menilai kualiti buktinya adalah sangat rendah. Bagi wanita dengan bayi tunggal dan diancam kelahiran pramatang, pengetahuan tentang kepanjangan serviks mereka mungkin membawa kepada kehamilan yang lebih panjang selama kira-kira empat hari (4 kajian, 410 wanita), tetapi bukti ke atas bilangan bayi yang lahir sebelum 37 minggu adalah tidak jelas (2 kajian , 242 wanita). Bagi wanita yang mengalami pecah ketuban, adalah tidak jelas samada pengetahuan pengamal kesihatan dapat memberi apa-apa perbezaan kepada wanita yang telah melahirkan secara pramatang, atau ke atas jumlah jangkitan, ini adalah kerana kami telah menilai kualiti buktinya sebagai sangat rendah. Bagi wanita berkehamilan tunggal yang tidak menunjukkan simptom kelahiran pramatang, adalah tidak jelas samada ultra saun / ultrabunyi untuk mengukur kepanjangan serviks memberikan apa-apa perbezaan kepada samada bayi mereka dilahirkan sebelum 37 minggu tempoh kehamilan (1 kajian, 296 wanita; bukti berkualiti sangat rendah).

Apakah maksudnya?

Kami menjumpai kajian dalam jumlah yang terhad, disertai wanita dalam jumlah yang kecil. Kajian-kajian ini mempunyai reka bentuk berbeza dengan julat keputusan yang pelbagai. Wanita mengetahui kumpulan mana mereka berada samada diuji dengan ultrabunyi atau tidak. Pada masa ini, penyelidikan berkualiti tinggi masih belum mencukupi untuk menunjukkan samada pengetahuan ukuran panjang serviks wanita hamil kembar atau satu mempunyai sebarang kesan. Kajian akan datang perlu memasukkan cara-cara untuk mengurus para wanita hasil daripada keputusan ukuran panjang serviks, dan adalah amat berfaedah untuk melihat masalah ini dalam populasi khusus secara berasingan, seperti dalam kalangan yang wanita hamil bayi tunggal berbanding kembar dan wanita yang mempunyai simptom dan tiada simptom kelahiran pramatang. Mereka juga boleh melaporkan semua hasil penting berkenaan ibu dan sebelum bersalin (perinatal), dan termasuk analisis keberkesanan kos.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosediani Muhamad (Universiti Sains Malaysia) Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information
Share/Save