Kedudukan lateral untuk pesakit dewasa yang kritikal

Pengulas melihat bukti tentang kesan membalik orang dewasa yang sakit kritikal dari sisi ke sisi semasa berbaring di atas katil hospital. Pengulas menemui 24 kajian.

Latar belakang

Jururawat menukar kedudukan badan pesakit yang kritikal sekerap setiap dua jam untuk mengelakkan kudis katil dan komplikasi lain yang berkaitan dengan hilang keupayaan untuk bergerak. Berbalik dari sisi ke sisi juga boleh membantu melonggarkan dan mengalirkan rembesan yang terkumpul di dalam paru-paru. Meletakkan semula ke lateral rutin ialah amalan standard yang agak selamat. Walau bagaimanapun, jika tekanan darah atau paras oksigen pesakit menurun kepada bacaan rendah yang berbahaya semasa perubahan kedudukan, rawatan perubatan segera diperlukan. Kebanyakan kejadian berakhir dengan cepat, tetapi bagi sesetengah pesakit, kejadian ini mungkin berakhir dengan perlahan dan berpotensi mengancam nyawa. Pengulas ingin mengetahui sama ada meletakkan semula lateral rutin lebih baik daripada strategi meletakkan di posisi lain termasuk balikan yang kurang kerap, dan sama ada kedudukan lateral boleh menyebabkan lebih banyak kejadian buruk.

Tarikh pencarian

Bukti adalah terkini sehingga Mei 2015.

Ciri-ciri kajian

Pengulas memasukkan kajian rawak ke atas orang dewasa yang sakit kritikal yang menerima rawatan di unit rawatan rapi dan di bahagian penjagaan kritikal yang lain. Pengulas memilih kajian yang memasukkan kedudukan lateral selepas satu balikan atau mengikuti balikan berulang. Tempoh setiap kedudukan badan ialah 10 minit atau lebih lama. Perbandingan termasuk kedudukan lateral yang lain (sebelah bertentangan), serta posisi terlentang (baring telentang), separuh telentang (baring telentang dengan bahagian atas badan anda dinaikkan ke sudut 45 darjah) dan posisi meniarap (baring di atas perut anda).

Keputusan

Pengulas mendapati 24 kajian yang layak. Tiada kajian melaporkan mengenai kematian. Dua kajian melaporkan morbiditi pulmonari selepas pembedahan jantung, tetapi data yang ada tidak mencukupi untuk dianalisis. Kajian lain melaporkan langkah-lanhkah yang pengulas sertakan untuk mengenal pasti kejadian buruk klinikal. Kebanyakan kajian ini tidak melaporkan keputusan dalam cara yang boleh digabungkan untuk ulasan bukti, dan reka bentuk kajian selalunya tidak sama. Pengulas membandingkan dua kajian orang dewasa yang sakit kritikal dengan penyakit paru-paru unilateral (satu 'paru-paru buruk' dan satu 'paru-paru yang baik'). Tahap oksigen dalam darah adalah lebih rendah untuk 'paru-paru buruk' (baring sisi dengan 'paru-paru buruk' terletak paling bawah). Walau bagaimanapun, sampel adalah kecil, kedua-dua kajian adalah berkualiti rendah dan tahap oksigen yang sangat rendah dalam darah tidak didapati secara konsisten merentas kajian. Oleh itu, keputusan perlu dilihat dengan berhati-hati.

Kesimpulan

Pengulas tidak menemui bukti jelas tentang keberkesanan meletakkan semula ke lateral rutin atau kesan satu balikan untuk pesakit yang kritikal. Kajian kualiti yang baik diperlukan untuk mengetahui sama ada meletakkan semula ke lateral rutin masih disyorkan untuk kebanyakan pesakit kritikal, dan sama ada satu kedudukan badan sebaiknya dielakkan untuk sesetengah orang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu

Tools
Information