Prosedur penutupan akar gigi untuk rawatan kecacatan jenis resesi berbilang setempat.

Soalan ulasan

Matlamat ulasan adalah untuk menilai keberkesanan pelbagai prosedur pembedahan bagi menutup akar gigi yang terdedah apabila gusi telah menyusut daripada gigi.

Latar belakang

Gusi menyusut (dikenali sebagai resesi gingiva) adalah proses kehilangan tisu gusi secara perlahan, dan jika tidak dirawat boleh mengakibatkan pendedahan akar gigi, di antara gusi dan gigi. Ia boleh melibatkan sebatang gigi (kecacatan resesi jenis tunggal) atau lebih (kecacatan resesi jenis berbilang). Ia boleh mempengaruhi rupa bentuk gigi, dan juga dikaitkan dengan gigi sensitif. Pendedahan akar gigi boleh dirawat dengan pembedahan kosmetik; termasuk teknik graf dan regenerasi gusi. proses graf melibatkan pengambilan tisu daripada bahagian lain mulut dan meletakkannya di atas kawasan akar gigi yang terdedah. Dengan regenerasi gusi, biobahan diguna untuk menjana tisu gusi tanpa perlu mengambilnya dari lelangit mulut. Prosedur yang diguna untuk graf gusi dan regenerasi gusi termasuk: graf gingiva bebas, flap lanjutan korona, graf matriks dermis tanpa sel, flap posisi lateral dan regenerasi tisu berpandu. Ulasan ini adalah kemas kini versi asal yang diterbitkan pada 2009.

Ciri-ciri kajian

Penulis Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane telah menjalankan ulasan ini dan bukti terkini sehingga 15 Januari 2018. Sejumlah 48 kajian rawak terkawal ke atas 1227 orang dewasa dimasukkan dengan lima kajian yang menilai kecacatan resesi jenis berbilang dan selebihnya resesi gingiva tunggal. Kebanyakan kajian memantau pesakit selama 6 bulan hingga 12 bulan. Ulasan ini melihat pelbagai intervensi: graf gingiva bebas (FGG), flap lanjutan korona (CAF) sahaja atau berkait dengan graf matriks dermis tanpa sel (ADMG), protein matriks enamel (EMP), regenerasi tisu berpandu dengan membran terserap (GTR rm), regenerasi tisu berpandu dengan membran tak terserap (GTR nrm), GTR rm yang berkait dengan pengganti tulang, fibrin atau plasma kaya-platelet (PRP atau PRF), faktor pertumbuhan (rhPDGF-BB) yang berkait dengan pengganti tulang (c-TCP), graf tisu perantara subepitelium (SCTG) atau matriks kolagen xenogenik (XCM). Kami tidak mendapati sebarang kajian yang menilai flap posisi lateral.

Keputusan utama

Keputusan ulasan menunjukkan kebanyakan prosedur pembedahan plastik periodontium penutupan akar gigi membawa kepada pengurangan resesi gingiva. Walau bagaimanapun, kami tidak pasti intervensi mana yang paling berkesan kerana semua kajian adalah berisiko tinggi atau tidak jelas. Seeloknya, graf tisu perantara subepitelium, flap lanjutan korona sahaja atau berkait dengan graf lain atau biobahan dan regenerasi tisu berpandu boleh diguna sebagai prosedur penutupan akar bagi merawat kecacatan-kecacatan jenis resesi. Terdapat data yang terhad bagaimana intervensi tersebut mempengaruhi rupa gigi. Kesan buruk yang dilapor dalam kajian termasuklah sakit dan tidak selesa, tetapi ianya berkait dengan tapak di mana graf diambil, dan terjadi terutama dalam minggu pertama selepas pembedahan tanpa pengaruh ke atas hasil penutupan akar. Penyelidikan lanjut diperlukan untuk setiap keputusan yang ingin dicapai oleh setiap prosedur plastik periodontium penutupan akar.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti sebagai rendah atau sangat rendah kerana masalah reka bentuk kajian-kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information
Share/Save