Adakah pasukan kepakaran campuran (pelbagai disiplin) cara terbaik untuk membantu orang tua pulih daripada patah tulang pinggul?

Mesej utama

- Berbanding dengan penjagaan biasa, penjagaan yang disediakan oleh pasukan profesional penjagaan kesihatan dengan kepakaran berbeza (pasukan pemulihan pelbagai disiplin) yang diketuai oleh pakar geriatrik atau pakar perubatan lain mungkin membantu lebih ramai orang tua di hospital untuk pulih selepas patah pinggul.

- Kami tidak tahu sama ada pemulihan pelbagai disiplin adalah lebih baik daripada penjagaan biasa selepas keluar hospital kerana tiada bukti yang mencukupi.

- Penyelidikan masa depan harus bertujuan untuk mengenal pasti rawatan terbaik yang disediakan oleh gabungan kepakaran yang membentuk pasukan pelbagai disiplin, supaya orang ramai boleh meninggalkan hospital lebih awal dan mendapat sokongan dalam komuniti.

Bagaimanakah patah tulang pinggul dirawat?

Patah pinggul adalah perkara biasa tetapi kecederaan serius pada orang tua. Kira-kira satu pertiga orang yang mengalami patah tulang pinggul mati dalam tempoh setahun selepas kecederaan mereka. Orang yang mengalami patah tulang pinggul juga mungkin mempunyai keadaan lain yang melambatkan pemulihan mereka. Ramai yang tidak memperoleh semula mobiliti dan kebebasan yang mereka miliki sebelum patah tulang, dan mungkin memerlukan penjagaan kediaman di rumah jagaan selepas itu.

Penjagaan biasa bagi orang yang patah pinggul ialah pembedahan, diikuti dengan terapi di wad hospital untuk memulihkan mobiliti dan fungsi asas kehidupan seharian, seperti mandi dan berpakaian. Perkara ini mungkin melibatkan orang dari jabatan lain di hospital. Namun, orang yang mengalami patah tulang pinggul memerlukan bantuan dengan pelbagai aktiviti, dan mungkin mengalami masalah mental serta fizikal selepas pembedahan. Jadi, pendekatan yang lebih baik untuk membantu penyembuhan mereka, atau 'pemulihan', mungkin melibatkan sekumpulan orang yang mempunyai kepakaran dari pelbagai bidang, atau 'disiplin'. Mereka membangunkan pelan pemulihan untuk setiap orang, bergantung kepada keperluan mereka. Pasukan 'pemulihan pelbagai disiplin' ini, yang biasanya diketuai oleh doktor yang pakar dalam penjagaan orang tua atau pakar perubatan lain dalam pemulihan, juga boleh termasuk doktor, jururawat, ahli fisioterapi, pakar diet, pekerja sosial dan pakar kesihatan mental yang lain. Pemulihan pelbagai disiplin boleh berlaku di hospital, dalam wad akut (rawatan jangka pendek) atau pemulihan, atau di kediaman rumah seseorang. Beberapa jenis pemulihan pelbagai disiplin melibatkan keluar awal dari hospital dengan sokongan di rumah.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada pemulihan pelbagai disiplin membantu orang pulih dari patah tulang pinggul dengan lebih baik berbanding penjagaan biasa. Kami amat berminat dengan bilangan orang yang mengalami 'hasil buruk' sehingga setahun selepas pembedahan; iaitu, sama ada mereka meninggal dunia atau menjadi lebih bergantung sehingga mereka perlu dijaga di rumah penjagaan. Kami juga melihat pada:

- kualiti hidup berkaitan kesihatan;
- kematian;
- memerlukan bantuan dengan aktiviti harian;
- mobiliti; dan
- sakit.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan pemulihan pelbagai disiplin dengan penjagaan biasa pada orang tua selepas pembedahan patah pinggul.

Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami temui?

Kami menemui 28 kajian dengan 5351 orang tua yang telah menjalani pembedahan patah pinggul. Mereka secara puratanya berumur dari 76.5 hingga 87 tahun dan kebanyakannya ialah wanita.

Keputusan utama

Pemulihan pelbagai disiplin selepas pembedahan berbanding dengan penjagaan biasa di hospital (20 kajian):

- mungkin mengakibatkan kurang kes 'hasil buruk' pada 6 hingga 12 bulan berbanding penjagaan biasa. Daripada 1000 orang dengan patah tulang pinggul yang menerima penjagaan biasa, 347 akan mempunyai 'hasil buruk' antara 6 dan 12 bulan selepas pembedahan; 41 kurang orang (12% daripada 347) akan mendapat 'hasil buruk' dengan pemulihan pelbagai disiplin;

- boleh mengurangkan risiko kematian di hospital, dan dalam jangka panjang sehingga 1 tahun.

- boleh mengakibatkan kurang orang dengan mobiliti yang lebih lemah pada 6 hingga 12 bulan.

Kami tidak tahu sama ada pemulihan pelbagai disiplin meningkatkan atau memburukkan kualiti hidup dan aktiviti kehidupan seharian. Tiada bukti tentang kesakitan jangka panjang, berkaitan dengan pinggul.

Pemulihan pelbagai disiplin selepas pembedahan berbanding dengan penjagaan biasa di rumah (3 kajian):

Kami tidak tahu sama ada pemulihan pelbagai disiplin memberi sebarang perbezaan kepada:

- 'hasil buruk' pada 1 tahun;

- kualiti hidup pada 1 tahun; dan

- kematian pada 4 atau 12 bulan;

- sama ada orang memerlukan bantuan dengan aktiviti kehidupan harian;

- berpindah ke rumah penjagaan; atau

- mobiliti.

Tiada bukti tentang kesakitan jangka panjang, berkaitan dengan pinggul.

Pemulihan pelbagai disiplin selepas pembedahan berbanding dengan penjagaan biasa untuk penghuni rumah jagaan (1 kajian) mungkin tidak memberi perbezaan kepada:

- 'hasil buruk' (meninggal dunia atau tidak boleh berjalan) pada 12 bulan; atau

- kematian pada 4 atau 12 bulan.

Kami tidak tahu sama ada pemulihan pelbagai disiplin membuat perubahan kepada:

- sama ada orang memerlukan bantuan dengan aktiviti kehidupan harian pada 4 minggu atau 12 bulan;

- kualiti hidup, mobiliti atau kesakitan pada 12 bulan.

Apakah batasan bukti tersebut?

Kami cukup yakin dengan bukti tentang 'hasil buruk' untuk orang di hospital tetapi kurang yakin dengan semua bukti lain kerana kurang didapati dan semua kajian mempunyai kelemahan yang boleh menjejaskan kebolehpercayaan keputusan mereka.

Sejauh manakah bukti ini dikemas kini?

Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information