Duloxetine untuk merawat sakit neuropati, kesakitan kronik atau ‘fibromyalgia

Soalan ulasan

Adakah duloxetine berkesan bagi merawat kesakitan yang terjadi akibat kerosakan saraf dalam penyakit-penyakit tertentu, atau sakit yang diakibatkan oleh fibromyalgia?

Latar belakang

Duloxetine ialah ubat untuk merawat depresi dan inkonten kencing mengesa (kebocoran air kencing) dan ia juga berguna untuk sesetengah jenis kesakitan tertentu. Kesakitan terjadi secara spontan apabila terdapat kerosakan pada saraf yang membawa maklumat kesakitan kepada otak (kesakitan neuropatik). Apabila kerosakan berlaku di luar saraf tunjang ia dipanggil sebagai neuropati periferal. Jenis kesakitan yang lain, iaitu kesakitan nociseptif, berlaku bila saraf mengesan kerosakan pada tisu selain saraf (sebagai contoh, kesan tusukan jarum pada kulit). Sesetengah kesakitan terjadi tanpa asal usul yang jelas dan berlaku tanpa kerosakan saraf atau tisu yang jelas. Kesakitan sebegini berlaku, sebagai contoh, dalam fibromyalgia. Objektif ulasan ini adalah untuk menilai manfaat dan bahaya duloxetine bagi merawat sakit neuropati dan kesakitan kronik yang pelbagai jenis.

Ciri-ciri kajian

Kami telah melihat kepada semua literatur saintifik dan menemui 18 kajian, melibatkan sejumlah 6407 peserta, yang mempunyai kualiti mencukupi untuk disertakan dalam ulasan ini. Enam kajian telah menguji kesan duloxetine terhadap kesakitan neuropati diabetes dan enam terhadap kesakitan fibromyalgia. Tiga kajian telah merawat gejala-gejala kesakitan fizikal yang berkaitan dengan depresi dan satu kajian kecil yang telah menguji duloxetine untuk kesakitan disebabkan strok atau penyakit-penyakit saraf tunjang (kesakitan pusat).

Keputusan utama dan kualiti bukti

Dos biasa duloxetine bagi ialah 60mg. Pada dos ini, terdapat bukti yang berkualiti sederhana bahawa duloxetine mengurangkan kesakitan dalam kedua-dua neuropati periferal diabetes dan fibromyalgia. Dalam kesakitan neuropatik periferal, didapati kesakitan berkurang 50% atau lebih dengan rawatan duloxetine 60mg sehari, keputusan ini melebihi satu setengah kali ganda lebih kerap terhasil berbanding rawatan dengan plasebo. Satu cara lain untuk mengatakan ini adalah lima individu dengan kesakitan neuropati periferal diabetes perlu menerima rawatan duloxetine untuk mencapai penambah baikan kesakitan sebanyak 50% atau lebih dalam satu individu. Kesan fibromyalgia adalah sama tetapi bilangan yang diperlukan untuk merawat seseorang untuk meningkatkan 50% atau lebih adalah lapan individu. Berdasarkan satu kajian, tidak mungkin untuk menentukan sama ada satu dos 20mg adalah efektif, dan 120mg adalah tidak lebih efektif daripada dos 60mg.

Kami telah mengira untuk neuropati diabetes terdapat kajian yang mencukupi untuk membuat kesimpulan tersebut dan kajian lain tidak diperlukan. Dalam fibromyalgia dan gejala yang menyakitkan yang berkaitan dengan depresi, lebih banyak kajian diperlukan untuk membuat kenyataan yang meyakinkan tentang keberkesanan duloxetine.

Kebanyakan individu yang mengambil duloxetine akan mendapat sekurang-kurangnya satu kesan sampingan. Kesan sampingan kebanyakkan adalah kecil dan yang paling kerap adalah merasa loya sakit, merasa susah untuk tidur atau terlalu mengantuk, sakit kepala, mulut kering, sembelit atau pening. Kira-kira satu dari enam individu berhenti mengambil duloxetine disebabkan oleh kesan-kesan sampingan. Masalah-masalah serius disebabkan oleh duloxetine adalah sangat jarang.

Walaupun duloxetine adalah bermanfaat untuk rawatan kesakitan neuropatik dan fibromyalgia, hanya terdapat sedikit bukti daripada kajian yang membandingkan duloxetine dengan antidepresan yang lain tentang ubat yang manakah lebih baik.

Kami telah merumuskan bahawa duloxetine adalah berguna untuk merawat kesakitan yang diakibatkan oleh diabetik neuropati dan kemungkinan untuk fibromyalgia.

Maklumat dalam ulasan ini terkini sehingga November 2013, carian terbaru literatur.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information