Terapi tarian/pergerakan untuk pesakit kanser

Isunya
Kanser boleh menyebabkan penderitaan emosi, fizikal dan sosial yang meluas. Penjagaan kanser terkini semakin banyak menggabungkan intervensi psikososial untuk meningkatkan kualiti hidup. Terapi seni kreatif seperti terapi tarian/pergerakan, muzik, seni dan drama digunakan untuk membantu dalam penjagaan dan pemulihan. Berikutan terapi perubatan, yang boleh menjadi invasif, orang yang menghidap kanser menggunakan terapi tarian/pergerakan untuk belajar menerima dan berhubung kembali dengan tubuh badan mereka, membina keyakinan diri yang baru, meningkatkan ekspresi diri, mengatasi perasaan terasing, kemurungan, kemarahan, ketakutan dan ketidakpercayaan dan mengukuhkan sumber peribadi. Ia juga digunakan untuk meningkatkan julat pergerakan lengan dan mengurangkan ukurlilit lengan selepas mastektomi atau lumpektomi. Bagi ulasan ini, kajian dipertimbangkan hanya jika terapi tarian/pergerakan diberikan oleh ahli terapi tarian/pergerakan yang terlatih secara formal atau oleh pelatih dalam program formal.

Tujuan ulasan
Ulasan ini adalah kemas kini daripada ulasan Cochrane yang sebelumnya dari 2011, yang menyertakan dua kajian yang tidak menemui sokongan untuk kesan terapi tarian/pergerakan terhadap imej badan, satu-satunya hasil yang sama di antara dua kajian tersebut. Tujuannya adalah untuk mengkaji kesan terapi tarian/pergerakan terhadap hasil psikologi dan fizikal dalam orang yang menghidap kanser.

Bagi kemas kini ulasan ini, kami mencari kajian tambahan mengenai kesan terapi tarian/pergerakan terhadap hasil psikologi dan fizikal dalam orang yang menghidap kanser. Kami mencari kajian yang telah diterbitkan dan masih berlangsung sehingga Julai 2014. Kami mempertimbangkan semua kajian yang mana terapi tarian/pergerakan dibandingkan dengan sebarang bentuk rawatan standard.

Apakah penemuan utama?
Kami mengenal pasti satu kajian baru bagi kemas kini ini. Tiga kajian tersebut merangkumi sejumlah 207 peserta, yang merupakan wanita yang menghidap kanser payudara. Kajian-kajian tersebut adalah bersaiz kecil. Kami tidak menemui bukti kesan untuk kemurungan, tekanan, kebimbangan, keletihan, dan imej badan. Penemuan kajian individu menunjukkan terapi tarian/pergerakan mungkin mempunyai kesan yang bermanfaat terhadap kualiti hidup, somatisasi (iaitu tekanan yang timbul akibat daripada persepsi terhadap disfungsi badan) dan semangat wanita yang menghidap kanser payudara. Tiada kesan buruk bagi intervensi terapi tarian/pergerakan yang dilaporkan.

Kualiti bukti
Bukti adalah berdasarkan tiga kajian kecil sahaja dan kualiti bukti adalah tidak kukuh.

Apakah kesimpulannya?
TIada kesimpulan yang boleh dibuat mengenai kesan terapi tarian/pergerakan terhadap hasil psikologi dan fizikal dalam pesakit kanser kerana jumlah kajian yang tidak mencukupi. Lebih banyak penyelidikan diperlukan. Kami tidak mengenal pasti sebarang konflik kepentingan dalam kajian-kajian yang disertakan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney).Disunting oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information