Bolehkah intervensi berasaskan Internet membantu orang untuk berhenti merokok?

Latar belakang

Penggunaan tembakau dianggarkan membunuh 7 juta orang setahun. Nikotin menyebabkan ketagihan yang tinggi tetapi tinjauan menunjukkan hampir 70% perokok dari Amerika Syarikat dan UK ingin berhenti merokok. Walaupun ramai perokok cuba untuk berhenti merokok bersendirian, nasihat daripada profesional kesihatan meningkatkan peluang untuk berhenti dengan jayanya. Setakat 2016 terdapat 3.5 bilion pengguna Internet di seluruh dunia. Internet adalah satu platform menarik untuk membantu orang berhenti merokok kerana kos yang rendah bagi setiap pengguna dan ia berpotensi untuk melibatkan perokok yang mungkin tidak mengakses sokongan akibat ketersediaan penjagaan kesihatan yang terhad atau isu stigma. Intervensi berasaskan Internet juga boleh diguna untuk mensasarkan golongan muda yang merokok atau perokok-perokok yang tidak akan mencari kaedah tradisional untuk berhenti merokok.

Ciri-ciri Kajian

Sehingga Ogos 2016, ulasan ini menemui sebanyak 67 kajian termasuk data daripada lebih 110,000 orang peserta. Data berhenti merokok selepas enam bulan atau lebih daripada 35,969 orang peserta adalah tersedia. Kami mengkaji pelbagai jenis intervensi berasaskan Internet, dari intervensi intensiti rendah seperti memberi peserta senarai laman web berhenti merokok hingga intervensi intensif yang terdiri dari komponen Internet, e-mel dan hantaran telefon bimbit. Kami bahagikan intervensi tersebut sebagai intervensi yang direka khas atau interaktif, atau kedua-duanya. Intervensi Internet yang direka khas berbeza dalam amaun rekaan, daripada komponen multimedia hingga sumber mesej peribadi. Beberapa intervensi berasaskan Internet juga merangkumi kaunseling atau sokongan daripada jururawat, pembimbing rakan sebaya atau pakar rawatan tembakau. Kajian-kajian terkini merangkumi rangkaian sosial dalam talian seperti Facebook, Twitter dan forum-forum dalam talian.

Hasilan Utama

Dalam gabungan keputusan, program Internet yang interaktif dan direka khas kepada respon individu memberi kadar berhenti yang lebih tinggi berbanding rawatan biasa atau bantuan bertulis sendiri pada enam bulan atau lebih.

Kualiti bukti

Tidak banyak kajian yang dibuat dalam kalangan orang muda. Lebih banyak kajian diperlukan untuk menentukan kesan kaedah intervensi berasaskan Internet untuk membantu belia dan orang muda. Keputusan ini perlu ditafsir dengan cermat kerana sesetengah kajian berisiko bias tinggi dan kualiti bukti kebanyakan hasil adalah sederhana atau rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Chew Jia En (Penang Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi jiaen_c2017@ms.pmc.edu.my

Tools
Information