Keberkesanan aliskiren menurunkan tekanan darah

Soalan ulasan:

Penyelidik ingin menentukan sama ada aliskiren lebih baik daripada plasebo untuk mengurangkan tekanan darah dalam pesakit dewasa dengan tekanan darah tinggi, dan sama ada ubat ini meningkatkan kesan-kesan sampingan. Penyelidik juga ingin menentukan sama ada terdapat perubahan ketara dalam tekanan darah, tekanan nadi, kadar denyutan jantung dan penarikan diri akibat kesan sampingan.

Penyelidik mencari penulisan perubatan yang sedia ada untuk mencari semua kajian yang telah menilai soalan-soalan ini. Data yang dimasukkan dalam ulasan ini adalah terkini sehingga Februari 2017.

Latar belakang

Tekanan darah tinggi atau hipertensi boleh menyebabkan serangan jantung dan angin ahmar. Kelas baru ubat yang dikenali sebagai perencat renin adalah digunakan untuk rawatan hipertensi. Aliskiren adalah satu-satunya ubat kelas perencat renin yang telah dikaji dan diluluskan untuk rawatan hipertensi pada masa ini.

Ciri-ciri kajian

Penyelidik mendapati terdapat 12 kajian, dalam tempoh lapan minggu, yang secara rawak membahagikan 7439 orang dewasa dengan hipertensi ringan hingga sederhana kepada aliskiren pada dos antara 75 mg hingga 600 mg atau plasebo Semua kajian dibiayai oleh pengilang Novartis. Maklumat terperinci mengenai kejadian buruk, yang diperoleh daripada sembilan laporan kajian klinikal yang dikemukakan kepada pengawal selia, dimasukkan dalam kemas kini ini.

Keputusan utama

Penyelidik membuat kesimpulan bahawa aliskiren adalah lebih baik daripada plasebo untuk menurunkan tekanan darah dan bahawa magnitud kesan ini mungkin sama dengan kelas ubat lain apabila 300 mg, yang merupakan dos maksimum yang disyorkan digunakan. Aliskiren 300 mg mengurangkan tekanan darah dengan lapan mata di bahagian atas (dipanggil tekanan darah sistolik) dan lima mata di bawah (dipanggil tekanan darah diastolik). Aliskiren tidak mempunyai kesan terhadap perubahan tekanan darah. Disebabkan oleh maklumat yang sangat terhad berkenaan perubahan kadar denyutan jantung dan denyutan nadi (perbezaan antara nombor atas dan bawah), adalah tidak mungkin untuk menganalisa hasil-hasil ini.

Kajian-kajian adalah terlalu singkat untuk menilai kesan-kesan sampingan. Aliskiren tidak meningkatkan kadar kematian, kejadian buruk yang tidak membawa maut atau penarikan diri akibat kesan sampingan. Kesan sampingan yang paling biasa diperhatikan adalah sakit kepala, cirit-birit, pening dan keletihan. Cirit-birit meningkat secara ketara dengan aliskiren 600 mg berbanding dengan plasebo.

Kualiti bukti: Penurunan tekanan darah pada dos yang disyorkan telah dinilai sebagai bukti berkualiti sederhana dan data kejadian buruk telah dinilai sebagai bukti berkualiti rendah kerana kajian-kajian termasuk dinilai mempunyai kemungkinan berat sebelah pelaporan dan pembiayaan yang tinggi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save