Imunoglobulin intravena tambahan kepada rawatan standard untuk granulomatosis Wegener

Granulomatosis Wegener adalah penyakit yang jarang berlaku yang menyebabkan keradangan saluran darah. Keradangan ini menyekat aliran darah ke pelbagai organ yang akhirnya merosakkan organ-organ. Organ-organ yang paling terjejas oleh Wegener termasuk paru-paru, saluran pernafasan bahagian atas, buah pinggang, sendi, kulit dan mata. Granulomatosis Wegener juga menghasilkan granuloma (jisim atau nodul tisu keradangan) yang ditemui di sekitar saluran darah dan juga boleh merosakkan tisu di sekitarnya. Penyebab granulomatosis Wegener tidak diketahui. Rawatan adalah dengan kortikosteroid dan ubat sitotoksik yang sering digunakan untuk rawatan kemoterapi. Kebanyakan pesakit rasa lebih baik dengan ubat-ubatan tersebut. Namun, penyakit itu kembali dalam kalangan separuh daripada pesakit. Imunoglobulin intravena (IVIg) adalah satu produk darah yang jarang dan mahal, ia digunakan untuk merawat granulomatosis Wegener tetapi kesannya terhadap penyakit tidak diketahui. Kami bertanyakan jika pemberian IVIg tambahan kepada rawatan standard memberi kelebihan. Kami mendapati satu kajian rawak kecil di mana 34 peserta secara rawak menerima IVIg atau plasebo satu kali setiap hari di samping azathioprine dan prednisolone untuk remisi pengekalan. Kajian ini tidak menyediakan bukti cukup untuk menentukan sama ada IVIg mempunyai kelebihan berbanding kortikosteroid dan imunosupresan untuk rawatan granulomatosis Wegener.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi LokeTimKhaw@imu.edu.my

Tools
Information
Share/Save