Intervensi untuk kelesuan selepas strok

Soalan ulasan: Kami mengulas bukti keberkesanan intervensi yang telah digunakan untuk merawat atau mencegah kelesuan dalam kalangan orang dengan strok.

Latar belakang: Kelesuan adalah masalah lazim dan menyusahkan selepas strok, tetapi tiada intervensi disyorkan untuk merawat atau mencegahnya dalam kalangan orang dengan strok. Oleh itu, ia adalah penting untuk mencari intervensi yang boleh mengurangkan kelesuan atau keterukannya, atau kedua-duanya, dalam kalangan orang dengan strok.

Ciri-ciri kajian: Bukti adalah terkini sehingga Mei 2014. Kami mendapati 12 kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana orang-orang dimasukkan ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan secara rawak) dengan 703 orang dengan strok. Daripada 12 kajian ini, hanya lapan kajian merekrut orang dengan kelesuan dan bertujuan untuk merawat kelesuan, tiada kajian yang bertujuan untuk mencegah kelesuan dan empat kajian lain tidak bertujuan untuk merawat atau mencegah kelesuan tetapi melaporkan kelesuan sebagai hasil.

Keputusan utama: Tiada bukti yang cukup untuk menyokong penggunaan sebarang intervensi untuk merawat atau mencegah kelesuan dalam kalangan orang dengan strok.

Kualiti bukti: Kualiti kajian umumnya adalah rendah. Data yang sedia ada adalah terhad kerana setiap intervensi yang dikenal pasti hanya disiasat dalam satu kajian tunggal. Tambahan pula, beberapa kajian adalah kecil dan menggunakan reka bentuk kajian yang teruk. Oleh itu, kajian lanjutan berkualiti lebih baik diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save