Bagaimana vitamin E dan C, beta-karoten, selenium dan glutation mempengaruhi penyakit paru-paru dalam kalangan orang dengan fibrosis sistik?

Latar belakang

Jangkitan paru-paru yang kerap menyebabkan keradangan paru-paru jangka panjang; sel penyebab keradangan menghasilkan molekul oksigen (spesis oksigen reaktif (ROS)), yang boleh merosakkan tisu badan (kerosakan oksidatif); badan menggunakan antioksidan untuk melindunginya. Orang dengan fibrosis sistik (CF) mempunyai paras ROS yang tinggi berbanding paras antioksidan yang rendah. Penambahan antioksidan mungkin mengurangkan kerosakan oksidatif dan meningkatkan paras antioksidan.

Memandangkan kesukaran menyerap lemak, orang dengan CF mempunyai paras antioksidan larut lemak (vitamin E dan beta-karoten) yang rendah. Vitamin C larut air berkurangan dengan usia dalam kalangan orang dengan CF. Glutation, salah satu antioksidan paling banyak dalam sel, tidak dilepaskan dengan betul ke dalam paru-paru orang dengan CF. Sesetengah enzim yang membantu fungsi antioksidan bergantung kepada mineral selenium, oleh itu penambahan selenium bertujuan merangsang tindakan antioksidan.

Kebanyakan bahan tambahan ditelan, tetapi glutation dan N-acetylcysteine (NAC) (yang digunakan oleh badan untuk membuat glutation) juga boleh disedut; ini boleh mempengaruhi fungsi paru-paru dengan mencairkan lendir apabila disedut (membolehkan klearans lendir lebih mudah).

Tarikh carian

Carian terakhir untuk ulasan kemas kini: 08 Januari 2019.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 20 kajian (924 orang dengan CF, nisbah jantina hampir sama, berusia enam bulan hingga 59 tahun); 16 kajian membandingkan penambahan oral kepada plasebo (rawatan palsu) dan empat kajian membandingkan penambahan yang disedut dengan plasebo.

Keputusan-keputusan utama

Penambahan oral

Kami tidak pasti sama ada NAC mengubah fungsi paru-paru (isipadu ekspiratori paksa dalam satu saat (FEV1)% yang diramal) pada tiga bulan (empat kajian, 125 peserta, bukti berkualiti sangat rendah), tetapi pada enam bulan dua kajian (109 peserta) melaporkan NAC mungkin memperbaiki FEV1% yang diramal (bukti berkualiti sederhana). Satu kajian (46 peserta) melaporkan perubahan lebih besar dalam FEV1% yang diramal dengan plasebo berbanding dengan gabungan penambahan vitamin dan selenium selepas dua bulan. Satu kajian (61 peserta) melaporkan sedikit atau tiada perbezaan dalam skor kualiti hidup (QoL) di antara NAC dan kumpulan kawalan selepas enam bulan (bukti berkualiti sederhana), tetapi kajian gabungan vitamin dan selenium dua bulan melaporkan skor QoL yang lebih baik di dalam kumpulan kawalan. NAC mungkin tidak memberi perbezaan kepada indeks jisim tubuh (BMI) (satu kajian, 62 peserta, bukti berkualiti sederhana). Satu kajian (69 peserta) melaporkan penambahan campuran vitamin dan mineral boleh membawa kepada risiko lebih rendah eksaserbasi pulmonari pada enam bulan berbanding penambahan multivitamin (bukti berkualiti rendah). Sembilan kajian (366 peserta) tidak mendapati perbezaan yang jelas dan konsisten dalam kesan sampingan antara kumpulan (kualiti bukti di antara rendah hingga sederhana). Kajian-kajian dengan vitamin E dan β-karoten secara konsisten melaporkan kadar antioksidan yang lebih tinggi dalam sampel darah.

Penambahan yang disedut

Di dalam dua kajian (258 peserta), glutation yang disedut mungkin memperbaiki FEV1% yang diramal berbanding plasebo pada tiga bulan tetapi tidak pada enam bulan (bukti berkualiti sederhana); kajian-kajian tersebut juga melaporkan peningkatan yang lebih baik dalam FEV1 liter dengan glutation berbanding plasebo pada kedua-dua titik masa. Dua kajian (258 peserta) mendapati sedikit atau tiada perbezaan perubahan skor QoL (kualiti bukti sederhana). Satu kajian dua bulan (16 peserta) dan satu kajian 12 bulan (105 peserta) tidak melaporkan perbezaan antara kumpulan dalam perubahan BMI. Tiada perbezaan pada masa untuk eksaserbasi pulmonari pertama dalam satu kajian enam bulan. Dua kajian (223 peserta) melaporkan tiada perbezaan kesan sampingan (bukti berkualiti rendah) di antara kumpulan dan satu lagi kajian (153 peserta) melaporkan bilangan kesan sampingan serius adalah serupa dalam seluruh kumpulan.

Kesimpulan

Penambahan vitamin dan mineral tidak memperbaiki hasil klinikal. Glutation dilihat memperbaiki fungsi paru-paru, sementara pemberian oral menurunkan tekanan oksidatif, dengan manfaat-manfaat kepada fungsi paru-paru dan ukuran nutrisi. Antibiotik intensif dan rawatan serentak lain untuk orang dengan jangkitan CF dan kronik bermakna sukar untuk menilai kesan antioksidan tanpa kajian yang lebih besar dan lebih panjang. Kajian masa depan harus melihat bagaimana antioksidan mempengaruhi orang dengan CF yang mengambil terapi modulator CFTR.

Kualiti bukti

Bukti adalah di antara sangat rendah hingga sederhana. Semua kecuali satu kajian mempunyai bias; kebanyakannya kerana data tidak dilapor sepenuhnya (lebih cenderung mempengaruhi keputusan kami). Kami juga tidak pasti jika peserta mengetahui rawatan yang mereka terima, sama ada sebelum dan selepas kajian dimulakan (tidak pasti bagaimana ini boleh mempengaruhi keputusan kami).

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal)

Tools
Information
Share/Save