Adakah temuduga bermotivasi membantu orang ramai untuk berhenti merokok?

Latar belakang

Temuduga bermotivasi adalah sejenis kaunseling yang boleh diguna untuk membantu orang ramai berhenti merokok. Ia bertujuan untuk membantu orang ramai meneroka pelbagai alasan yang menyebabkan ketidakpastian mereka untuk berhenti merokok dan untuk mencari jalan bagi mereka lebih bersedia dan mampu untuk berhenti merokok. Selain daripada memberitahu seseorang itu mengapa dan bagaimana mereka sepatutnya mengubah sikap mereka, para kaunsellor sebaliknya akan cuba untuk membantu seseorang itu untuk menukar sikap mereka sendiri dan meningkatkan keyakinan seseorang itu untuk berjaya. Pengulasan ini bertujuan untuk meneroka sama ada temuduga bermotivasi boleh membantu lebih ramai orang berhenti merokok tanpa sebarang rawatan, ataupun sebarang jenis rawatan berhenti merokok yang lain. Ia juga melihat sama ada sesi temuduga bermotivasi yang lebih panjang dan lebih kerap boleh membantu lebih ramai orang berhenti merokok berbanding kekerapan temuduga bermotivasi yang lebih kurang.

Ciri-ciri kajian

Pengulasan ini melibatkan 37 kajian yang merangkumi 15,000 orang yang merokok tembakau. Kajian-kajian tersebut telah dilaksanakan dikalangan pelbagai jenis orang yang berbeza. Mereka termasuk orang yang mengalami masalah kesihatan ataupun masalah penggunaan dadah, orang muda mudi, orang jalanan, dan juga orang yang pernah ditangkap atau dipenjarakan juga. Sesetengah orang merasa bersedia untuk berhenti merokok dan sesetengah orang merasa tidak bersedia untuk berhenti merokok. Temuduga bermotivasi telah diberikan dalam lingkungan satu sehingga 12 sesi temuduga yang mengambil masa sebanyak lima minit sehingga lapan jam untuk dilaksanakan setiap satunya. Kajian-kajian tersebut telah dilaksanakan untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan. Bukti-bukti adalah terkini sehingga Ogos 2018.

Keputusan-keputusan utama

Tiada bukti yang mencukupi untuk menentukan bahawa temuduga bermotivasi telah membantu lebih ramai orang untuk berhenti merokok berbanding tiada sebarang rawatan berhenti merokok diberikan. Orang ramai lebih berkemungkinan untuk berhenti merokok sekiranya mereka diberikan temuduga bermotivasi berbanding sebarang jenis rawatan berhenti merokok yang lain. Namun, kajian kami juga mendapati bahawa terdapat kemungkinan temuduga bermotivasi mengurangkan kemungkinan seseorang berhenti merokok berbanding jenis rawatan berhenti merokok yang lain. Ini bermaksud lebih banyak kajian diperlukan untuk menentukan sama ada temuduga bermotivasi boleh membantu orang ramai berhenti merokok berbanding jenis rawatan berhenti merokok yang lain. Temuduga bermotivasi dengan sesi rawatan yang lebih kerap boleh membantu orang ramai untuk berhenti merokok berbanding temuduga bermotivasi dengan kekerapan yang kurang, bagaimanapun lebih banyak kajian diperlukan untuk memastikan hal ini.

Kami juga melihat sama ada dengan melalui temuduga bermotivasi untuk berhenti merokok, kesejahteraan orang ramai juga telah ditingkatkan. Banyak kajian tidak memberi sebarang maklumat berkenaan hal ini, maka lebih banyak kajian diperlukan untuk menjawab persoalan ini.

Kualiti bukti kajian

Terdapat bukti yang berkualiti rendah yang melihat sama ada temuduga bermotivasi membantu lebih ramai orang untuk berhenti merokok berbanding tiada rawatan langsung. Ini bermakna ia adalah sukar untuk mengetahui sekiranya temuduga bermotivasi membantu orang ramai untuk berhenti merokok atau tidak, maka banyak kajian lagi diperlukan. Kualiti bukti-bukti juga adalah rendah untuk semua persoalan yang dikemukan berkenaan berhenti merokok. Ini bermakna penemuan-penemuan kami boleh berubah sekiranya kajian baru dilaksanakan. Kualiti kajian telah dinilai sebagai rendah kerana terdapat pelbagai masalah dengan reka-bentuk kajian, hasil-hasil kajian yang berlainan dengan satu sama lain, dan kekurangan data yang telah menyebabkan kesukaran untuk menentukan sama ada temuduga bermotivasi, ataupun temuduga bermotivasi yang lebih intensif telah membantu orang ramai untuk berhenti merokok atau tidak.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syameer Firdaus (Monash University). Disunting oleh Intan Juliana Abd Hamid (Institut Perubatan & Pergigian Termaju, USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi msmoh50@mikotosyameer.com

Tools
Information
Share/Save