Risperidone berbanding dengan plasebo untuk skizofrenia

Soalan ulasan

Adakah risperidone (dalam bentuk tablet) lebih berkesan daripada plasebo dalam rawatan simptom skizofrenia atau penyakit seperti skizofrenia?

Latar belakang

Pesakit dengan skizofrenia sering mendengar suara dan melihat sesuatu (halusinasi) dan mempunyai kepercayaan aneh (delusi). Ini digelar ‘simptom positif’. Penyakit mental turut menyebabkan keletihan, kekurangan emosi, kekakuan emosi, dan penyisihan. Ini digelar ‘simptom negatif’. Rawatan utama untuk simptom skizofrenia adalah ubat antipsikotik. Ubat antipsikotik boleh diklasifikasikan kepada ubat tipikal (lama) dan atipikal (baru). Antipsikotik tipikal seperti chlorpromazine dan haloperidol telah menjadi rawatan utama untuk berdekad, dan telah ditunjukkan berkesan dalam mengurangkan simptom positif skizofrenia. Walaubagaimanapun, simptom negatif agak kalis rawatan. Tambahan, rawatan ubat telah dikaitkan dengan kesan-kesan sampingan yang tidak menyenangkan yang menyebabkan pesakit berhenti mengambil ubat, yang membawa kepada penyakit berulang. Ia dicadangkan bahawa antipsikotiok atipikal yang lebih baru seperti risperidone, adalah lebih berkesan daripada antipsikotik lama kerana mereka mengurangkan simptom positif tetapi membawa lebih kurang kesan sampingan.

Ciri-ciri kajian

Pencarian untuk kajian rawak berkualiti tinggi telah dijalankan pada 2008, 2013 dan 2015. Ulasan ini kini menyertakan 15 kajian dengan 2428 peserta. Kajian-kajian tersebut merawakkan peserta (dalam dan luar hospital) dengan skizofrenia atau penyakit seperti skizofrenia kepada kumpulan rawatan yang menerima risperidone oral atau plasebo.

Keputusan utama

Keputusan daripada data terhad mencadangkan bahawa risperidone adalah lebih berkesan daripada plasebo untuk mengurangkan simptom skizofrenia secara keseluruhan, dan peserta yang menerima risperidone adalah lebih cenderung untuk mengikuti rawatan. Namun, seperti antipsikotik tipikal lama, risperidone juga dikaitkan dengan kesan sampingan serius, seperti parkinsonisme.

Kualiti bukti

Bukti yang sedia ada adalah berkualiti sangat rendah. Maklumat dan data adalah terhad, dilaporkan dengan tidak baik, dan kemungkinan besar berat sebelah dan memihak kepada risperidone. Hampir setengah daripada kajian yang dimasukkan adalah dibiayaai oleh syarikat ubat. Kesimpulan kukuh susah untuk dibuat berdasarkan kepada hasil ulasan ini. Kajian yang dijalankan dan dilaporkan dengan lebih baik mampu meningkatkan keyakinan dalam keputusan.

Ben Gray, Senior Peer Researcher, McPin Foundation. http://mcpin.org/

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khoo Jing Hern (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com

Tools
Information
Share/Save