Manfaat penggunaan protokol untuk mengurangkan masa penggunaan alat bantuan penafasan mekanikal dalam kalangan pesakit yang kritikal

Soalan ulasan: Kami telah mengkaji bukti tentang kesan penggunaan protokol (garis panduan) oleh para pakar perubatan untuk mengurangkan masa pesakit kritikal bergantung pada alat bantuan penafasan.

Latar belakang: Bantuan pesakit untuk bernafas dengan menggunakan alat bantuan penafasan mekanikal dapat menyelamatkan nyawa mereka. Namun, semakin lama seseorang pesakit menggunakan alat bantuan pernafasan, semakin besar risiko mereka untuk mendapat kemudaratan termasuklah jangkitan paru-paru dan komplikasi daripada keadaan mereka yang tidak dapat bergerak, contohnya masalah darah beku di kaki atau paru-paru. Adalah sangat penting untuk mengenalpasti dengan awal masa pesakit boleh bernafas dengan sendiri supaya bantuan penafasan boleh dikurangkan secara berperingkat. Pada kebiasaannya, pengurangan bantuan penafasan bergantung pada budi bicara pakar perubatan, tetapi baru-baru ini, protokol untuk mengurangkan bantuan pernafsan telah didapati selamat untuk digunapakai. Beberapa kajian mendapati bahawa penggunaan protokol membawa kepada amalan yang lebih baik. Namun tiada bukti yang jelas yang menunjukkan penggunaanya mampu membawa manfaat kepada pesakit.

Tarikh carian: Bukti-bukti adalah terkini sehingga Januari 2014.

Ciri-ciri kajian: Ulasan Cochrane yang dikemaskini ini telah memasukkan sebanyak 17 kajian yang melibatkan 2434 pesakit lelaki dan wanita kritikal yang telah dirawat di unit rawatan rapi (ICU) perubatan, pembedahan, pembedahan saraf serta gabungan ICU perubatan dan pembedahan. Kajian-kajian tersebut membandingkan penggunaan protokol untuk mengurangkan bantuan pernafasan dengan praktis biasa. Kajian-kajian ini telah dijalankan di ICU sekitar benua Amerika, Asia, dan Australia. ICU tersebut ditugaskan untuk menjaga pesakit yang mempunyai masalah jantung, kecederaan kepala, trauma dan pesakit yang baru menjalani pembedahan utama. Dalam 13 kajian, pakar perubatan telah meggunakan protokol untuk membantu mereka mengurangkan bantuan pernafasan. Dalam empat kajian, bantuan pernafasan telah dikurangkan secara automatik oleh program komputer yang berdasarkan satu protokol.

Keputusan: Penggunaan protokol telah mengurangkan sebanyak 26% tempoh masa seseorang pesakit menggunakan alat bantuan pernafasan berbanding dengan tidak menggunakan protokol. Tempoh pengurangan penggunaan alat bantuan pernafasan telah dikurangkan sebanyak 70% dan tempoh pesakit berada di ICU telah dikurangkan sebanyak 11%. Penggunaan protokol tidak membawa sebarang kemudaratan yang lain. Kami mendapati bahawa terdapat beberapa jenis protokol yang digunakan, kriteria untuk memulakan proses pengurangan, keadaan kesihatan pesakit dan praktis yang biasa dalam mengurangkan bantuan pernafasan. Ini bermakna kami tidak boleh mengatakan protokol yang mana adalah terbaik untuk seseorang pesakit, tetapi kami mengetahui bahawa protokol-protokol ini tidak bermanfaat untuk pesakit pembedahan saraf.

Kualiti bukti: Kami menilaikan kualiti bukti kajian yang ada adalah sederhana untuk tempoh bantuan pernafasan dan kesan kemudaratan. Kualiti bukti adalah rendah untuk tempoh pengurangan bantuan pernafasan dan tempoh berada di ICU. Alasan untuk penilaian kami termasuk hasil kajian yang tidak konsisten dan kajian tersebut tidak menyertakan butiran yang cukup tentang amalan penjagaan biasa mereka.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Zaki Hilmi Bin Zainal Abidin (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting Tan May Loong RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi muhammadzakihilmi@gmail.com

Tools
Information
Share/Save