Adakah pemberian steroid sistemik lebih pendek sama berkesan berbanding pemberian konvensional yang lebih panjang dalam rawatan pesakit dengan eksaserbasi COPD?

Mengapa soalan ini penting?

Penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD), termasuk emfisema dan bronkitis kronik, adalah keadaan paru-paru jangka panjang yang lazim dikaitkan dengan merokok. Pesakit dengan COPD mungkin mengalami ‘flare-ups’ (eksaserbasi), selalunya disebabkan oleh jangkitan, di mana gejala-gejala seperti sesak nafas, batuk dan kahak semakin teruk, dan rawatan tambahan atau kemasukan ke hospital diperlukan.

Kortikosteroid sistemik (iaitu bukan sedutan), seperti prednisolon, prednison dan kortison, lazim digunakan dalam rawatan pesakit-pesakit dengan ‘flare-up’ (eksaserbasi) ini. Penyelidik ingin menilai sama ada rawatan yang lebih pendek (tujuh hari atau kurang) sama baik dengan rawatan jangka biasa (melebihi tujuh hari) dan menyebabkan kurang kesan sampingan.

Bagaimana kami menjawab soalan ini?

Kami mencari semua kajian yang membandingkan rawatan kortikosteroid oral atau suntikan yang diberi selama tujuh hari atau kurang berbanding rawatan yang diberikan melebihi tujuh hari dalam kalangan orang dengan eksaserbasi COPD akut .

Apakah yang kami dapati?

Kami mendapati lapan kajian melibatkan 582 orang dengan COPD yang mengalami ‘flare-up’ dan memerlukan rawatan tambahan di hospital. Kajian-kajian ini membandingkan rawatan kortikosteroid oral atau suntikan yang diberi untuk tujuh hari atau kurang berbanding rawatan untuk lebih dari tujuh hari. Kebanyakan orang dalam kajian-kajian tersebut berumur lewat enam puluhan dan mengalami gejala COPD yang teruk atau sangat teruk; lebih ramai lelaki daripada wanita yang mengambil bahagian. Carian terakhir kajian yang dimasukkan dalam ulasan telah dijalankan pada Mac 2017.

Tiada perbezaan diperhatikan di antara rawatan yang lebih pendek dengan yang lebih panjang. Orang yang dirawat selama tujuh hari atau kurang tidak mempunyai kadar kegagalan rawatan yang lebih tinggi atau masa yang lebih lama untuk eksaserbasi seterusnya; bilangan orang yang mengelakkan kegagalan rawatan adalah di antara julat 51 hingga lebih 34 bagi setiap 1000 yang dirawat (purata kurang 22 orang bagi setiap 1000). Masa di hospital dan fungsi paru-paru (ujian meniup) pada akhir rawatan tidak berbeza. Tiada perbezaan dalam kesan sampingan atau kematian diperhatikan di antara rawatan. Maklumat mengenai kualiti hidup, yang merupakan hasil penting bagi orang dengan COPD, adalah terhad, kerana hanya satu kajian mengukurnya.

Lapan kajian yang dimaksukkan dalam ulasan ini pada umumnya direka bentuk dengan baik, dan kualiti bukti dinilai sebagai sederhana kerana ketidaktepatan dalam keputusannya; lebih banyak penyelidikan, terutamanya melibatkan orang dengan COPD yang kurang teruk, diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com

Tools
Information