Intervensi psikologi awal berbilang sesi bagi pencegahan gangguan stres pasca trauma

Mengapa ulasan ini penting?

Kejadian trauma boleh memberi kesan yang signifikan ke atas keupayaan daya tindak individu, keluarga dan masyarakat. Pada masa lalu, sesi intervensi tunggal seperti perbincangan psikologi meluas digunakan dengan tujuan mencegah kesukaran psikologi yang berterusan. Walau bagaimanapun, tinjauan kajian terdahulu mendapati sesi intervensi tunggal individu tidak berkesan bagi mencegah gangguan stres pasca trauma (PTSD). Pelbagai bentuk intervensi lain telah dibangunkan bagi mencegah orang terdedah kepada trauma dari PTSD.

Siapakah yang akan berminat dengan ulasan ini?

Orang yang terdedah kepada kejadian trauma dan orang-orang yang mereka sayangi.

• Profesional yang bekerja di perkhidmatan kesihatan mental.

• Pengamal perubatan umum.

• Pesuruhajaya.

Apakah soalan yang cuba dijawab oleh ulasan ini?

Adakah intervensi psikologi awal berbilang sesi (iaitu intervensi lebih daripada dua atau lebih sesi bermula dalam tempoh tiga bulan pertama selepas peristiwa trauma) lebih berkesan daripada rawatan biasa atau intervensi psikologi lain dalam:

• mengurangkan bilangan orang yang didiagnos dengann PTSD;

• mengurangkan keterukan simptom PTSD;

• mengurangkan keterukan simptom kemurungan;

• mengurangkan keterukan simptom kebimbangan;

• memperbaiki fungsi am (seperti sosial, psikologi, pekerjaan dan pemfungsian) penerima intervensi.

Kajian-kajian manakah yang telah dimasukkan dalam ulasan ini?

Kami mencari kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana orang dimasukkan ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang menilai intervensi psikologi awal berbilang sesi dalam pencegahan PTSD, diterbitkan antara 1970 dan Mac 2018.

Kami memasukkan 27 kajian dengan 3963 peserta.

Apakah yang diberitahu oleh bukti daripada ulasan?

• Kami mendapati bukti kepastian rendah intervensi psikologi awal berbilang sesi mungkin lebih berkesan daripada rawatan biasa dalam mencegah diagnosis PTSD selepas tiga hingga enam bulan menerima intervensi.

• Kami mendapati bukti kepastian sangat rendah intervensi psikologi awal berbilang sesi mungkin tidak lebih atau tidak kurang berkesan daripada rawatan biasa dalam mencegah PTSD, sama ada sejurus selapas atau pada tujuh hingga 12 bulan selepas intervensi. Kami juga mendapati bukti kepastian sangat rendah intervensi psikologi awal berbilang sesi mungkin tidak lebih atau tidak kurang berkesan daripada rawatan biasa dalam mengurangkan keterukan simptom PTSD, sama ada sejurus selepas atau pada susulan berikutnya.

• Kami mendapati bukti kepastian rendah intervensi psikologi awal berbilang sesi mungkin dikaitkan dengan kadar keciciran lebih tinggi daripada intervensi psikologi yang lain.

• Kami mendapati bukti kepastian rendah intervensi psikologi awal berbilang sesi mungkin tidak lebih atau tidak kurang berkesan daripada intervensi psikologi lain dalam mendiagnos PTSD; mengurangkan keterukan PTSD, kemurungan dan kebimbangan; atau dalam mengekalkan pemfungsian umum peserta yang menerima intervensi.

• Kami tidak mendapati kajian yang mengukur kesan buruk.

• Kami tidak mendapati kajian yang mengukur penggunaan sumber yang berkaitan dengan kesihatan.

Apakah yang harus berlaku seterusnya?

Pangkalan bukti terkini adalah kecil. Walau bagaimanapun, kajian-kajian baru sedang dijalankan dan kemas kini ulasan masa depan akan menggabungkan keputusannya.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi linoby@uitm.edu.my.

Tools
Information
Share/Save