Pembedahan-harian berbanding pembedahan bermalam untuk kolesistektomi laparoskopik

Ulasan ini membandingkan discaj hari yang sama (pembedahan-harian) dengan bermalam selepas pembuangan pundi hempedu secara kaedah lubang kunci (kolesistektomi laparoskopik) untuk pelbagai masalah pundi hempedu terutamanya batu hempedu yang menyebabkan kesakitan.

Batu yang berkembang di dalam pundi hempedu boleh menyebabkan kesakitan pada bahagian atas abdomen. Keadaan ini dirawat secara pembedahan dengan membuang pundi hempedu melalui kaedah lubang kunci, sejenis prosedur yang dikenali sebagai kolesistektomi laparoskopik. Prosedur ini mungkin memerlukan pesakit tinggal semalaman di hospital, akan tetapi kemungkinan untuk menjalankan pembedahan dan membenarkan pesakit pulang pada hari yang sama (‘pembedahan-harian’) semakin meningkat. Terdapat kontroversi sama ada kolesistektomi laparoskopik sebagai pembedahan-harian adalah selamat.

Ulasan ini bertujuan untuk menyiasat kajian terkini sedia ada dan menyediakan gambaran keseluruhan bukti yang ditunjukkan dalam kajian klinikal terkini berkenaan perkara tersebut. Penulis kajian mengenalpasti sejumlah enam kajian yang melibatkan 492 peserta. Dua ratus dan tiga puluh sembilan pesakit menjalani kolesistektomi laparoskopik yang dirancang sebagai pembedahan-harian dan 253 peserta tinggal semalaman di hospital selepas prosedur tersebut. Kesemua kajian mempunyai risiko bias tinggi (kelemahan kaedah yang boleh menyebabkan kemungkinan untuk membuat kesimpulan yang salah dengan terlebih jangkaan faedah atau terkurang jangkaan keburukan pembedahan-harian atau prosedur tinggal semalaman). Kami melihat kepada hasil yang dianggap penting daripada perspektif peserta dan juga petugas kesihatan. Hasil tersebut merangkumi kematian, komplikasi serius, kualiti hidup selepas prosedur, sakit, tempoh untuk kembali menjalani aktiviti normal dan juga kembali bekerja, kemasukan semula ke hospital, dan kegagalan discaj (gagal untuk didiscaj seperti yang dirancang). Tiada perbezaan ketara pada peratus kematian atau komplikasi antara kumpulan yang menjalani pembedahan-harian dan yang tinggal semalaman. Kualiti hidup tidak mempunyai perbezaaan ketara antara kedua-dua kumpulan. Tiada perbezaan ketara dalam masa yang diambil untuk pesakit kembali ke aktiviti normal atau kembali bekerja. Tiada perbezaan ketara pada kemasukan semula ke hospital atau peratus kegagalan discaj. Keputusan mencadangkan bahawa pembedahan-harian adalah selamat untuk pesakit. Penting untuk diambil perhatian bahawa kesemua kajian berisiko bias dan data yang sedikit, menyebabkan peluang tinggi untuk membuat kesimpulan salah disebabkan oleh ralat sistematik (terlebih jangkaan faedah atau terkurang jangkaan keburukan pembedahan-harian atau tinggal semalaman) dan ralat rawak (pertaruhan peluang). Lebih banyak kajian rawak diperlukan untuk menyiasat impak pembedahan-harian dan tinggal semalaman pada kualiti hidup dan juga kesan-kesan lain kepada pesakit menjalani kolesistektomi laparoskopik.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Kamal Rizal bin Ishak (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi kamalrizal@usm.my

Tools
Information