Intervensi muzik untuk kecederaan otak perolehan

Soalan ulasan

Kami telah mengkaji bukti tentang kesan intervensi muzik ke atas hasil fungsional orang dewasa dengan kecederaan otak perolehan

Latar belakang

Kecederaan otak perolehan (kecederaan otak disebabkan oleh kemalangan atau penyakit, termasuk strok, yang dijangka tidak akan merosot) boleh menyebabkan masalah dengan pergerakan, bahasa, perasaan, pemikiran atau emosi. Setiap ini boleh mengurangkan mutu hidup pesakit dengan serius. Banyak rawatan yang baru telah ditemui untuk membantu memulihkan fungsi-fungsi yang hilang dan untuk mengelakkan kemurungan. Intervensi muzik melibatkan penggunaan muzik untuk membantu pemulihan. Rawatan tertentu termasuk menggunakan irama untuk membantu pergerakan dan berjalan kaki; bermain instrumen muzik untuk menambahbaik pergerakan; menyanyi untuk meningkatkan kualiti suara dan pertuturan; mendengar muzik untuk membantu pengendalian nyeri, mood atau pemikiran; dan bermain dan menggubah muzik untuk menimbulkan rasa kesejahteraan.

Ciri-ciri kajian

Kami bertujuan untuk mengenalpasti penyelidikan yang menguji intervensi muzik yang digabungkan dengan penjagaan yang standard untuk orang dewasa dengan kecederaan otak perolehan yang sedang menerima pemulihan dalam hospital atau komuniti. Kami mencari kajian yang menguji kesan intervensi muzik kepada perjalanan, pergerakan, komunikasi, pemikiran, emosi, sakit, dan kesejahteraan. Intervensi termasuk bergerak mengikuti muzik, nyanyian, mendengar muzik, menggubah muzik, bermain alat muzik, atau kombinasi mana-mana intervensi di atas. Kami telah mengenalpasti dan menglibatkan 29 kajian yang melibatkan 775 peserta dewasa. Bukti yang didapati adalah semasa sehingga Jun 2015.

Keputusan-keputusan utama

Keputusan ulasan ini mencadangkan bahawa intervensi muzik yang menggunakan irama mungkin berfaedah untuk menambah baik fungsi berjalan dalam kalangan pesakit strok, dan ini boleh meningkatkan mutu hidup. Intervensi muzik boleh memberi manfaat untuk meningkatkan kelajuan pergerakan lengan yang berulang dan juga komunikasi dalam kalangan pesakit strok. Intervensi muzik yang menggunakan rentak yang kuat dalam muzik mungkin lebih berkesan daripada intervensi di mana rentak yang kuat digunakan tanpa muzik. Rawatan yang disampaikan oleh ahli terapi muzik yang terlatih mungkin lebih berkesan daripada rawatan yang disampaikan oleh ahli profesional lain. Maklumat adalah tidak mencukupi untuk mengkaji kesan intervensi muzik ke atas aspek lain. Kami mendapati tiada kajian yang melaporkan kesan berbahaya.

Kualiti bukti

Kualiti kajian adalah secara umumnya rendah. Kami mendapati hanya satu kajian yang kami berpendapat mempunyai risiko berat sebelah yang rendah. Kualiti bukti untuk kelajuan berjalan dan jarak melangkah adalah sederhana. Kualiti bukti untuk aspek-aspek berjalan yang lain adalah rendah. Kualiti bukti untuk kelajuan pergerakan lengan berulang adalah sangat rendah. Kualiti bukti untuk komunikasi secara keseluruhan juga adalah sangat rendah. Kualiti bukti untuk mutu hidup adalah rendah. Kajian klinikal lanjutan adalah diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Teoh Ru Jian Jonathan (Penang Medical College). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi jonathanteoh_c2017@ms.pmc.edu.my.

Tools
Information
Share/Save