Rawatan jangka panjang untuk kemurungan dalam kalangan orang tua

Ini adalah kemas kini ulasan Cochrane yang pertama diterbitkan pada 2012.

Mengapakah ulasan ini penting?

Kemurungan adalah masalah lazim dalam kalangan orang tua dan menyebabkan kecacatan yang besar. Walaupun selepas rawatan yang berjaya, ia sering berulang.

Punca kemurungan dalam kalangan orang tua adalah lebih pelbagai berbanding orang dewasa yang lebih muda dan, dengan penambahan peningkatan bilangan orang tua, adalah penting untuk mengkaji kesan rawatan khusus dalam kalangan orang tua. Rawatan yang lazim diguna ialah ubat antidepresan dan rawatan psikologi (rawatan bercakap).

Siapakah yang berminat mengenai ulasan ini?

- Orang dengan kemurungan, rakan-rakan, keluarga, dan penjaga.

- Pengamal am, ahli psikiatri, ahli psikologi klinikal, ahli terapi psikologi, dan ahli farmasi.

- Profesional yang bekerja dalam perkhidmatan kesihatan mental orang tua.

- Profesional yang bekerja dalam Memperbaiki Akses kepada perkhidmatan Terapi Psikologi di UK.

Apakah soalan yang ingin dijawab oleh ulasan ini?

Dalam kalangan orang yang berusia 60 tahun ke atas yang telah pulih dari kemurungan tetapi masih mengambil ubat antidepresan:

- Adakah penerimaan rawatan antidepresan berterusan, rawatan psikologi, atau kombinasi kedua-duanya lebih berkesan mencegah berulangnya kemurungan berbanding penerimaan plasebo (rawatan pura-pura) atau sebarang rawatan lain?

- Adakah penerimaan rawatan antidepresan berterusan, rawatan psikologi, atau gabungan kedua-dua yang lebih mudarat daripada penerimaan plasebo atau sebarang rawatan lain?

Apakah kajian yang termasuk dalam ulasan?

Kami mencari pangkalan data perubatan untuk kajian-kajian yang relevan sehingga 13 Julai 2015. Kajian-kajian tersebut perlu membandingkan rawatan antidepresan, rawatan psikologi, atau gabungan kedua-duanya, dengan plasebo atau rawatan lain untuk mencegah berulangnya kemurungan dalam kalangan orang berumur 60 tahun ke atas. Kami memasukkan tujuh kajian, melibatkan 803 orang.

Enam kajian membandingkan ubat antidepresan dengan plasebo. Hanya dua kajian melibatkan rawatan psikologi. Kajian-kajian tersebut berbeza dalam cara perlaksanaan, bilangan peserta, dan jenis peserta.

Apakah yang diberitahu oleh bukti ulasan?

Mengekalkan ubat antidepresan selama setahun dilihat mengurangkan risiko kemurungan kembali dari 61% hingga 42% tetapi manfaat pada selang masa lain tidak dapat ditentukan. Rawatan antidepresan dilihat tidaklah lebih mudarat berbanding plasebo apabila diukur dengan bilangan peserta yang berhenti daripada kajian. Manfaat terapi psikologi adalah tidak jelas, disebabkan oleh bilangan kajian yang kecil. Kualiti bukti adalah sangat rendah.

Kebanyakan peserta dalam kajian-kajian tersebut adalah wanita. Hanya segelintir berumur lebih dari 75 tahun. Kebanyakan telah menerima rawatan untuk penyakit kemurungan asal mereka sebagai pesakit luar, yang menunjukkan kemurungan yang kurang teruk.

Ubat antidepresan yang diguna adalah antidepresan jenis yang lebih lama (dipanggil tricyclics) dan jenis yang lebih baru (dipanggil perencat ambilan semula serotonin selektif). Rawatan psikologi adalah terapi interpersonal, yang menangani halangan dalam hubungan, dan terapi tingkah laku kognitif, yang menangani ketidakaktifan dan corak pemikiran gagal sendiri.

Apakah yang patut berlaku seterusnya?

Ulasan ini menyediakan bukti terhad bahawa ubat antidepresan yang berterusan selama setahun dapat mengurangkan risiko kemurungan berulang tanpa mudarat tambahan. Walau bagaimanapun, ia tidak boleh digunakan untuk membuat cadangan kukuh kerana bilangan dan saiz kecil kajian-kajian yang terlibat. Batasan dalam reka bentuk dan laporan kajian-kajian tersebut juga boleh membuat keputusan tidak diwakili. Juga, tiada kesimpulan kukuh boleh dibuat mengenai rawatan psikologi atau kombinasi antidepresan dan rawatan psikologi dalam mencegah perulangan.

Kajian lanjutan yang lebih besar diperlukan untuk menjelaskan sebarang manfaat rawatan antidepresan dan psikologi. Kajian-kajian harus melibatkan lebih ramai orang berumur lebih 75 tahun, dan orang dengan masalah lain yang tipikal dirawat dalam perkhidmatan klinikal rutin, seperti penyakit fizikal jangka panjang dan masalah memori yang ringan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save