Intervensi untuk rawatan pemampatan saraf tunjang yang disebabkan oleh penyebaran kanser

Pemampatan saraf tunjang ekstradural metastatik (Metastatic extradural spinal cord compression, MESCC) yang disebabkan oleh kanser dari bahagian badan yang lain mempengaruhi tulang belakang dan menyebabkan mampatan saraf tunjang sering mengakibatkan kesakitan, gangguan fungsi termasuk penurunan kemampuan berjalan, inkontinensia dan memendekkan riwayat hidup. Radiasi adalah terapi utama, tetapi pembedahan, serta kortikosteroid juga digunakan untuk merawat orang dengan MESCC. Kemas kini tinjauan sebelumnya yang diterbitkan pada tahun 2008 menilai bukti kajian klinikal hingga 3 Mac 2015 untuk menentukan seberapa efektif radioterapi, pembedahan dan kortikosteroid dalam meningkatkan fungsi serta kelangsungan hidup, dan dalam mengurangkan kesakitan; dan sejauh mana toleransi mereka pada orang dewasa dengan MESCC.

Kami menjumpai tujuh kajian yang dijalankankan di negara berpendapatan tinggi melibatkan 876 orang dewasa (berumur 19 hingga 87 tahun) dengan MESCC. Tindakan susulan berkisar antara satu bulan hingga tiga tahun, dan jumlah dinilai masing-masing bervariasi di antara 29 hingga 303. Dua kajian membandingkan dos radiasi yang berbeza, dua membandingkan pembedahan sebelum radiasi dengan radiasi sahaja, dan tiga kajian kecil menilai kesan kortikosteroid dos tinggi dengan steroid dos sederhana atau plasebo.

Hasil utama adalah: 1. Untuk dos radiasi yang berbeza: satu dos radiasi sama efektifnya dengan dua dos dan dua dos sama efektifnya dengan lapan dos radiasi pada orang dewasa dengan mampatan saraf tunjang dengan tulang belakang stabil yang dijangka hidup kurang daripada enam bulan. Orang dewasa dengan prognosis yang lebih baik mungkin memerlukan rawatan radiasi yang lebih panjang untuk mencegah kanser tempatan berulangan, tetapi faedah langsung dari rawatan radiasi yang pendek mungkin penting bagi orang dengan MESCC yang hanya mempunyai masa hidup yang singkat. Tidak ada kesan sampingan serius yang diperhatikan, dan kejadian cirit-birit, mual dan muntah adalah rendah serta tidak ada perbezaan dengan dos radiasi yang berbeza. 2. Untuk pembedahan sebelum radiasi: membuangkan bahagian vertebra untuk membesarkan saluran tulang belakang (laminectomy) sebelum radiasi tidak memberikan kelebihan berbanding dengan radiasi sahaja. Pembedahan penyahmampatan langsung (mengakses dan membuang bahagian vertebra yang terlibat secara langsung dan, jika diperlukan, memperbaiki tulang belakang menggunakan cantuman tulang dan instrumen) diikuti dengan rawatan radiasi adalah lebih berkesan daripada radiasi sahaja pada orang dewasa yang dipilih secara teliti yang berumur kurang daripada 65 tahun. Pembedahan bersama dengan radiasi tidak mengakibatkan kesan berbahaya daripada radiasi sahaja. 3. Untuk steroid dos tinggi : kesan yang menguntungkan antara steroid dos tinggi dengan steroid dos sederhana atau plasebo tidak mempunyai perbezaan yang signifikan, tetapi kesan sampingan yang serius lebih kerap berlaku dengan steroid dos tinggi.

Tidak ada kajian yang melaporkan kepuasan penjagaan atau kualiti hidup. Kami juga tidak dapat mencari kajian yang membandingkan dos radiasi yang berbeza pada orang dewasa dengan MESCC dengan prognosis yang baik. Kami kurang keyakinan dengan kebanyakkan hasil kerana hasil-hasil tersebut dapat daripada satu kajian atau beberapa kajian kecil. Juga, dalam kajian pembedahan penyahmampatan, beberapa orang dewasa yang diberikan radiasi sahaja mempunyai kanser yang hanya sederhana sensitif kepada radiasi, dan satu pertiga pesakit daripada kedua-dua intervensi mempunyai ciri tulang belakang yang tidak stabil. Dalam praktik klinikal biasa, pembedahan, bukan radiasi, adalah pilihan yang lebih disukai dalam keadaan ini. Bukti kualiti GRADE secara keseluruhan adalah sederhana untuk semua hasil dalam perbandingan dos radiasi yang berbeza dan untuk kesan sampingan kortikosteroid dos tinggi, ini menunjukkan keyakinan yang munasabah terhadap hasilnya, walaupun penyelidikan masa depan dapat mengubah anggaran dalam ulasan ini dan keyakinan kami terhadap anggarannya. Kualiti bukti GRADE sangat rendah untuk semua hasil dalam perbandingan laminektomi, dan rendah untuk hasil kanser tempatan berulangan dengan dos radiasi yang berbeza, untuk semua hasil dalam perbandingan dengan pembedahan penyahmampatan, dan untuk hasil keberkesanan dalam perbandingan kortikosteroid dos tinggi. Ini menunjukkan kekurangan keyakinan pada hasil-hasil ini, dan mengakui bahawa penyelidikan masa depan berkemungkinan besar akan mengubah anggaran dalam ulasan ini. Kajian yang lebih banyak amat diperlukan untuk menjelaskan ketidakpastian ini dan beberapa kajian sedang dijalankan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Chan MW (RCSI&UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information