Penambahan zink untuk mencegah jangkitan telinga tengah

Latar belakang

Jangkitan telinga tengah adalah lazim, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak, yang sering menyebabkan sakit telinga dan kehilangan pendengaran sementara (kadang-kadang kekal). Zink adalah mikronutrien penting, yang berperanan untuk fungsi optimum sistem imun dan rintangan terhadap jangkitan. Ia mesti diambil secara berterusan kerana ia tidak boleh disimpan dalam badan. Sesetengah orang, terutamanya kanak-kanak di negara berpendapatan rendah dan sederhana, mungkin tidak mendapat zink yang cukup daripada makanan semata-mata. Para penyelidik telah mengkaji potensi penambahan zink dalam mencegah penyakit-penyakit berjangkit. Oleh itu, kami ingin melihat sama ada penambahan zink berperanan dalam mencegah jangkitan telinga tengah.

Ciri-ciri kajian

Penulis ulasan mencari literatur perubatan untuk kajian-kajian sehingga Mac 2014. Kami mencari kajian yang membandingkan jangkitan telinga tengah dalam kalangan orang-orang yang dipilih secara rawak untuk menerima atau tidak menerima penambahan zink. Kami menemui10 kajian yang layak, semuanya dijalankan dalam kalangan kanak-kanak kecil. Jumlah peserta adalah 6820 orang. Sembilan kajian dijalankan di negara berpendapatan rendah dan sederhana. Tujuh kajian telah dijalankan terhadap kanak-kanak sihat. Peserta termasuklah lelaki dan perempuan.

Keputusan

Keputusan kajian tidak menyediakan bukti yang meyakinkan penambahan zink mengurangkan kejadian jangkitan telinga tengah dalam kalangan kanak-kanak sihat. Walau bagaimanapun, dalam satu kajian kecil melibatkan kanak-kanak yang kekurangan zat, mereka yang menerima penambahan zink mengalami kurang jangkitan telinga tengah. Kesan sampingan hanyalah muntah-muntah.

Kualiti bukti

Bukti daripada kajian secara umum berkualiti baik, dengan risiko bias rendah. Semua kajian memasukkan otitis media hanya sebagai hasil sekunder. Oleh itu, terdapat potensi kajian yang terlepas pandang terutamanya yang kurang meluas tersebar atau yang kurang diindeks dalam pangkalan data elektronik.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi irfankb@usm.my. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail, Kolej Perubatan Melaka-Manipal.

Tools
Information