Bolehkah program yang disampaikan melalui telefon bimbit membantu orang untuk berhenti merokok?

Latar belakang

Merokok tembakau adalah punca utama kematian yang boleh dicegah. Telefon bimbit boleh digunakan untuk menyokong orang yang ingin berhenti merokok. Dalam ulasan ini, kami menumpukan kepada program yang menggunakan mesej teks atau aplikasi telefon pintar untuk berbuat demikian.

Tarikh carian

Kami mencari kajian yang telah dan tidak diterbitkan sehingga Oktober 2018.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 26 kajian rawak terkawal (melibatkan lebih 33,000 orang) yang membandingkan kadar berhenti merokok dalam kalangan mereka yang menerima mesej teks atau aplikasi telefon pintar untuk membantu mereka berhenti, dengan orang yang tidak menerima program ini. Kami berminat dalam kajian-kajian yang mengukur merokok selama enam bulan atau lebih lama.

Keputusan-keputusan utama

Kami mendapati bahawa program mesej teks boleh berkesan dalam menyokong orang untuk berhenti, meningkatkan kadar pemberhentian sebanyak 50% hingga 60%. Ini adalah kes apabila mereka dibandingkan dengan sokongan minima atau diuji sebagai tambahan kepada bentuk sokongan berhenti merokok yang lain. Tidak ada bukti yang cukup untuk menentukan kesan aplikasi telefon pintar.

Kualiti dan kesempurnaan bukti

Kebanyakan kajian adalah berkualiti tinggi, walaupun tiga kajian mempunyai kadar keciciran yang tinggi. Kami agak yakin dengan hasil daripada intervensi mesej teks, tetapi terdapat beberapa isu tentang perbezaan yang tidak dapat dijelaskan antara penemuan kajian dan beberapa perbandingan yang tidak mempunyai banyak data. Kami mempunyai keyakinan yang rendah terhadap keputusan mengenai aplikasi telefon pintar, dan lebih banyak kajian diperlukan dalam bidang ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com

Tools
Information
Share/Save