Prostatektomi radikal berbanding rawatan penangguhan untuk rawatan kanser prostat setempat

Soalan ulasan

Bagaimanakah pembedahan membuang keseluruhan prostat dibandingkan dengan rawatan yang ditangguhkan untuk pesakit kanser prostat?

Latar belakang

Kanser prostat adalah kanser yang biasa, terutamanya dalam lelaki yang lebih tua. Walaupun jarang, ia boleh menyebabkan rungutan seperti darah dalam air kencing atau kesukaran membuang air kecil. Ia boleh merebak ke organ lain seperti nodus limfa dan/atau tulang. Pada peringkat lanjut, kanser prostat tidak dapat disembuhkan, boleh menyebabkan gejala lain, dan akhirnya akan menyebabkan kematian.

Prostatektomi radikal membuang keseluruhan prostat. Ia adalah prosedur yang digunakan untuk merawat lelaki sekiranya kanser prostat kelihatan terbatas pada prostat dan belum tersebar. Lelaki boleh memilih untuk tidak mendapatkan rawatan pada mulanya dan kemudian merawat komplikasi. Ini dipanggil penungguan dengan pemantauan. Sebilangan lelaki akan memilih untuk tidak dirawat pada awalnya, untuk memantau kansernya sehingga menjadi lebih agresif, dan kemudian mendapatkan rawatan untuk disembuhkan. Ini dipanggil pengawasan aktif.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari penulisan perubatan sehingga 3 Mac 2020. Kami menemui empat kajian terkawal secara rawak, termasuk 2635 lelaki dengan kanser prostat, yang membandingkan prostatektomi radikal dengan penungguan dengan pemantauan (3 kajian) dan satu kajian yang membandingkan prostatektomi radikal dengan pemantauan aktif, yang merupakan bentuk pengawasan aktif yang lebih awal.

Keputusan utama

Prostatektomi radikal berbanding penungguan dengan pemantauan

Prostatektomi radikal mungkin mengurangkan risiko kematian dengan apa-apa sebab, mengurangkan risiko kematian akibat kanser prostat, mengurangkan risiko kanser menjadi lebih agresif, dan mengurangkan risiko kanser merebak ke bahagian badan yang lain (seperti nodus limfa dan tulang) selepas 29 tahun susulan.

Jumlah pesakit yang melaporkan kualiti hidup umum yang tinggi mungkin serupa setelah 12 tahun. Risiko kebocoran air kencing dan masalah dengan ereksi mungkin lebih besar bagi pesakit yang menjalani pembedahan.

Prostatektomi radikal berbanding pemantauan aktif

Mungkin ada sedikit atau tidak ada perbezaan antara prostatektomi radikal dan pemantauan aktif untuk risiko kematian kerana sebarang sebab dan risiko mati akibat kanser prostat setelah 10 tahun. Prostatektomi radikal mungkin mengurangkan risiko kanser menjadi lebih agresif dan risiko kanser merebak ke bahagian lain.

Kualiti hidup umum semasa susulan mungkin serupa. Pada masa tempoh susulan dua tahun, pesakit yang mengalami prostatektomi radikal lebih cenderung untuk mengalami inkontinens dan disfungsi ereksi.

Kepastian bukti

Kepastian bukti kebanyakannya adalah sederhana untuk hasil kanser. Ini bermaksud bahawa keputusan sebenar mungkin serupa dengan yang telah dihuraikan dalam ulasan ini. Untuk hasil yang berkepastian bukti rendah, keputusan sebenar mungkin berbeza.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save