Muzik bagi mengurangkan tekanan dan kebimbangan bagi pesakit dengan penyakit jantung koronari

Individu dengan penyakit jantung koronari sering mengalami tekanan yang teruk, meletakkan mereka pada risiko komplikasi yang lebih tinggi, termasuk kematian jantung secara tiba-tiba. Oleh itu, adalah penting bahawa penjagaan penghidap penyakit jantung koronari tertumpu pada keperluan psikologi serta fisiologi. Intervensi muzik telah digunakan bertahun bagi mengurangkan kebimbangan dan tekanan serta menambah baik tindakbalas fisiologi seperti kadar denyutan jantung dan kadar pernafasan dalam pesakit perubatan.

Ulasan ini adalah kemas kini ulasan Cochrane sebelumnya pada tahun 2009 yang mencadangkan intervensi muzik mungkin ada kesan yang berfaedah terhadap kebimbangan dan tindakbalas fisiologi dalam pesakit penyakit jantung koronari tetapi kualiti bukti adalah tidak kukuh dan kepentingan klinikal adalah tidak jelas.

Untuk ulasan ini,pengulas telah mencari kajian-kajian tambahan tentang kesan intervensi muzik terhadap tekanan dan kebimbangan dalam pesakit jantung koronari. Pengulas telah mencari kajian-kajian yang diterbitan sehingga November 2012 dan juga kajian-kajian yang masih berterusan sehingga November 2012. Pengulas mengambil kira semua kajian dalam sebarang bentuk penyertaan dalam muzik (contohnya mendengar muzik, menyanyi, bermain muzik) kemudian dibandingkan dengan sebarang bentuk rawatan standard dan memasukkan mereka yang disahkan dengan penyakit jantung koronari. Pengulas telah mengenal pasti empat kajian baru untuk pengemaskinian ini.

Ulasan ini memasukkan 26 kajian dengan sejumlah 1369 peserta. Kajian-kajian adalah bersaiz kecil. Dapatan kajian mencadangkan bahawa mendengar muzik mungkin ada kesan yang baik terhadap tekanan darah sistolik dan kadar jantung bagi orang dengan penyakit jantung koronari. Mendengar muzik juga kelihatan efektif dalam mengurangkan kebimbangan dalam kalangan pesakit dengan infarksi miokardium, terutamanya jika mereka diberikan pilihan muzik untuk didengar. Mendengar muzik juga mungkin mengurangkan kesakitan dan kadar pernafasan. Walau bagaimanapun, kesan terhadap kesakitan dan kadar pernafasan adalah kecil. Oleh itu, kepentingan klinikal adalah tidak jelas. Akhir sekali, mendengar muzik kelihatan meningkatkan kualiti tidur pesakit selepas prosedur atau pembedahan jantung. Pengulas tidak menjumpai bukti tentang kesan terhadap kemurungan atau kepelbagaian kadar jantung, dan keputusan yang tidak konsisten bagi mood. Tiada kesan buruk intervensi muzik dilaporkan. Sebahagian besar kajian mengkaji kesan-kesan mendengar muzik yang telah dirakam. Lebih banyak kajian diperlukan tentang kesan-kesan intervensi muzik yang ditawarkan oleh ahli terapi muzik terlatih. Secara keseluruhannya, kualiti bukti adalah tidak kukuh, oleh itu keputusan hendaklah ditafsirkan dengan berhati-hati.

Pengulas tidak mengenal pasti sebarang konflik kepentingan dalam kajian-kajian yang dirangkumkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Julie Yeo (Taylor’s University, Malaysia). Disunting oleh Ahmad Filza Ismai (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi julieyeohh@gmail.com.

Tools
Information
Share/Save